My Add

Sunday, 26 January 2014

Gerakan mahu had tempoh presiden parti

KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Januari, 2014: Gerakan berhasrat meminda perlembagaan parti untuk mengehadkan tempoh jawatan presidennya.

Presidennya, Datuk Mah Siew Kiong berkata, jawatankuasa tertinggi sedang menimbang sama ada mengehadkan tempoh itu kepada dua atau tiga penggal.

Jelasnya, cadangan ini perlu dikuatkuasakan berikutan landskap sosiopolitik kini sudah berubah dan rakyat secara umum mahukan perubahan di negara ini.

"Seperti yang telah saya janjikan selepas menyandang jawatan presiden, sudah tiba masanya untuk kami meneliti cadangan meminda had jawatan presiden.

"Dulu lain, sekarang lain. Kita perlu ikut rentak politik semasa. Pindaan perlembagaan dalam perkara ini sangat wajar demi keyakinan umum kepada parti kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat di Menara PGRM, di sini hari ini.

Tambah beliau, ketika ini satu kajian diketuai Pengerusi Biro Disiplin dan Perlembagaan Parti, Tan Sri Dr. Chin Fook Weng dijalankan dan akan disiapkan dalam tempoh dua bulan.

"Cadangan ini juga mungkin merangkumi tempoh had bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri juga.

"Perkara itu kemudian akan dikemukakan kepada perwakilan tahun ini dan sama ada pindaan dibuat pada mesyuarat perwakilan kebangsaan atau mesyuarat agung luar biasa," ujarnya.

Siew Keong menasihati parti politik supaya memberi fokus kepada membangunkan negara, selain menjaga kebajikan rakyat berbanding berterusan dengan budaya politik kosong.

"Pilihan raya sudah tamat, kini sudah tiba masa untuk fokus kepada rakyat, usahlah asyik menghentam sesama ahli politik khususnya dalam komponen sendiri," tegasnya.

Siew Kiong turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh kaum Cina di negara ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment