My Add

Tuesday 1 April 2014

Anwar pengamal kronisme sebenar - Shafie Apdal

JEMPOL, ISNIN, 31 Mac, 2014: Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencalonkan dirinya bertanding jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menentang isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memperlihatkan dirinya sebagai pengamal kronisme yang sebenarnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menjelaskan, jika dahulu Penasihat PKR itu secara konsisten menghentam kerajaan dan Barisan Nasional (BN) yang kononnya mengamalkan kronisme, kini apabila beliau secara terang-terangan melakukannya, tiada siapa dalam partinya mahu menghalang.

Malah, katanya, sekiranya Anwar benar-benar mahu menentang isterinya pada pemilihan parti berkenaan, maka apa yang diperkatakan olehnya tentang kronisme kini terkena dirinya.

"Lihat sahaja dalam ucapan, semasa kempen dan himpunan yang dilakukan, beliau (Anwar) menuduh kerajaan terdiri daripada kroni-kroni. Maka sekiranya benar dia mahu bertanding menentang isterinya, terbukti mereka adalah kroni seperti yang pernah diperkatakan dahulu.

"Kita bukan seperti yang mereka katakan, hal itu sudah terbukti. Oleh sebab itu, jangan ukur manusia pada ucapannya tetapi perbuatannya. Lihat sahaja kita dikatakan kroni tetapi kini beliau yang buat dan bukannya kerajaan," katanya ketika ditemui di Dewan Pejabat Daerah Jempol, dekat sini semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar menilai sendiri apa yang berlaku dalam parti pembangkang yang dilihat terlalu berpolitik sehingga agenda membangunkan rakyat diketepikan hanya untuk mengejar jawatan.

"Jangan banyak sangat berpolitik, ada politik di luar, dalam PKR dan dalam keluarga. Rakyat perlu melihat apa dilakukan, kita mahu lakukan banyak perkara untuk kebaikan negara dan rakyat," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shafie berkata, kepercayaan rakyat kepada BN dibuktikan apabila peningkatan sokongan yang ketara pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Sarawak.

"Setiap sayap Wanita, Pemuda dan Puteri perlu memainkan peranan untuk mencari pengundi baharu. Kita juga yakin banyak cabaran akan datang pada pilihan raya akan datang.

"Cabaran ini bukan boleh diatasi dengan jumlah ahli yang ramai tetapi semangat cintakan parti. Malah, saya yakin cubaan tersebut mampu diatasi sekiranya mendapat kerjasama daripada ahli-ahli BN," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment