My Add

Thursday, 3 April 2014

Chong Wei mudah ke pusingan kedua Siri Super Terbuka India

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Apri, 2014: - Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan kempen memburu kejuaraan ketiga pada kejohanan Siri Super Terbuka India dengan langkah cemerlang apabila mudah menundukkan pemain tuan rumah, Ajay Kumar 21-9, 21-9 di New Delhi, hari ini.

Juara 2013 dan 2011 itu hanya memerlukan 24 minit untuk menang, sekali gus menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain India, Sourabh Varma, hari ini.

Turut meneruskan kemaraan Malaysia pada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM817,500) itu adalah juara Siri Super Terbuka Malaysia, Goh V Shem-Lim Khim Wah, beregu wanita, Woon Khe Wei-Vivian Hoo dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing.

V Shem-Khim Wah menundukkan pasangan tuan rumah, Manu Attri-Sumeeth Reddy 21-19, 21-19 untuk bertemu pilihan ketujuh, Ko Sung Hyun-Shin Baek Choel dari Korea Selatan.

Pemenang pingat emas Sukan SEA, Khe Wei-Vivian menyingkirkan gandingan Thailand, Phataimas Muenwong-Kilasu Ostermeyer 21-17, 21-10 untuk bertemu satu lagi beregu negara itu, Duanganong Aroonkesorn-Kunchala Voravichitchaikul.

Peng Soon-Pei Jing yang beraksi dari pusingan kelayakan melakar kejutan ke atas pilihan kelapan dari Jepun, Kenichi Hayakawa-Misaki Matsutomo 21-15, 8-21, 23-21. Menanti mereka hari ini, pasangan Korea, Shin Baek Cheol-Eom Hye Won.

Sementara itu, perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng gagal mencipta impak di India apabila tunduk 12-21, 21-15, 19-21 kepada pemain berpengalaman Jepun, Sho Sasaki. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment