Gantung lesen bank amalkan perkauman
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 April, 2014: Pergerakan Pemuda UMNO Johor hari ini menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara menggantung lesen operasi Hong Leong Bank sekiranya dakwaan membuktikan bank itu mengamalkan amalan perkauman.
Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, ini ekoran daripada aduan membabitkan seorang kakitangan Melayu di cawangan Johor Bahru bank berkenaan yang mendakwa seorang pengurus berbangsa Cina telah mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan penghinaan terhadap orang Melayu.
"Kita menerima aduan berkenaan minggu lalu dan sudah memanjangkan perkara ini kepada Kementerian Kewangan dan Bank Negara. Kita berharap agar pihak berkuasa dapat membuat siasatan segera bagi meredakan kemarahan orang Melayu terhadap bank tersebut.
"Malah, kita juga mendesak agar pihak berkuasa menahan pengurus terbabit di bawah Akta Hasutan kerana membangkitkan isu perkauman melalui penggunaan kata-kata cacian yang menghina maruah orang Melayu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai aduan terhadap pengurus bank berbangsa Cina yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman kepada kakitangan bangsa Melayu baru-baru ini.
Khairul Anwar berkata, pihaknya juga tidak mahu menerima sebarang permohonan maaf lagi kerana ini bukan kes pertama membabitkan bank itu yang telah mencabar kesabaran orang Melayu sebelum ini.
"Pihak Hong Leong Bank pada asasnya juga perlu sedar yang mereka beroperasi di Malaysia yang mana soal agama serta layanan terhadap semua kaum harus sama takrif selari dengan asas penubuhan Malaysia," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kota Tinggi, Muhammad Fadzli Hasan berkata, orang Melayu sudah tidak sabar lagi dengan sikap melampau Hong Leong Bank dan akan melancarkan boikot terhadap bank itu.
Sehubungan itu, katanya, boikot secara besar-besaran perlu dimulakan sekarang kerana pelanggan bank itu terdiri daripada orang Melayu yang tidak pernah berasa iri hati dengan penubuhan bank berkenaan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment