My Add

Monday, 28 April 2014

Hudud konteks jenayah syariah Islam

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

PULAU PINANG, AHAD, 27 April, 2014: Pelaksanaan hukum hudud di negara ini perlu dilihat dalam konteks lebih luas iaitu sebagai sebahagian daripada perundangan jenayah berlandaskan syariah Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom berkata, hukum hudud bukan hanya berkisar kepada hukuman seperti potong tangan, rejam dan sebat semata-mata tetapi lebih menjurus terhadap usaha pencegahan, mendidik serta memberi pe­ngajaran kepada umat Islam.

"Undang-undang hudud ini lebih kepada bersifat mendidik dan perkara-perkara seperti inilah yang seharusnya diuar-uarkan pelbagai pihak termasuk media yang mana pelaksanaannya perlu dilihat dari sudut perundangan jenayah Islam," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian penutup Multaqa Imam, Guru Takmir dan Ahli Jawatankuasa Masjid Peringkat Pulau Pinang dan penyampaian peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM22,772,352 kepada kerajaan negeri, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Menurut Jamil Khir, rang-rang undang hudud yang akan dibentangkan Pas di Parlimen kelak memerlukan perbincangan dan rujukan lebih mendalam supaya semua pihak termasuk bukan Islam dapat memahaminya dengan lebih jelas.

Katanya, penelitian terhadap rang undang-undang hudud itu juga akan membabitkan perbincangan dengan pelbagai pihak terutama pakar perundangan dan pelaksanaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata, kerajaan setakat ini tidak mengenakan sebarang sekatan perjalanan dalam kalangan rakyat ke negara-negara Asia Barat termasuk bagi tujuan mengerjakan umrah ekoran penularan wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV).

Walau bagaimanapun, tambahnya, beliau menggesa jemaah umrah terutama sentiasa berwaspada dan mengelak mengunjungi ladang-ladang ternakan yang dikatakan antara lokasi penyebaran wabak tersebut.

"Dalam masa sama, kita juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam memantau perkembangan wabak ini termasuk sekiranya memerlukan jemaah umrah serta rakyat kita yang mahu ke Asia Barat mengambil dos pelalian tambahan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment