My Add

Tuesday, 1 April 2014

Kerajaan akan tubuh portal untuk pesara kerajaan

PUTRAJAYA, SELASA, 01 April, 2014: Kerajaan mengambil inisiatif untuk memperkenalkan portal 1Malaysia Civil Service Retirement Support (1MCSRS) bagi menjaga kebajikan dan membela nasib pesara yang telah berbakti dalam sektor perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, 1MCSRS dijangka dapat memberi manfaat kepada 610,000 pesara kerajaan dalam lima aspek iaitu kelangsungan kesihatan, panduan bekerja semula, pembangunan keusahawanan, pengurusan kewangan dan kesejahteraan pesara.

Beliau berkata, inisiatif di bawah pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana pesara kerajaan merupakan aset negara yang memerlukan perhatian, penghargaan dan penjagaan kebajikan bagi memastikan kelangsungan produktiviti mereka kepada negara dan masyarakat.

“1MCSRS merupakan satu projek istimewa yang sangat signifikan dan bermakna untuk kita semua terutamanya kepada golongan pesara perkhidmatan awam. Ia merupakan satu inisiatif terbaharu untuk menjaga kebajikan pesara di bawah pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan diterajui oleh JPA.

“Inisiatif ini menggambarkan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam menyediakan satu bentuk perkhidmatan yang holistik dan merentasi pelbagai agensi kepada pesara penjawat awam merangkumi pelbagai aspek," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pra pelancaran 1MCSRS di Hospital Putrajaya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment