My Add

Monday, 28 April 2014

MaGIC bantu usahawan muda realisasi impian

 * NAJIB Tun Razak dan Barack Obama bersama peserta-peserta program Code for Malaysia sempena pelancaran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 April, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tujuan kerajaan mewujudkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) adalah bagi membuka peluang kepada golongan muda merealisasikan impian mereka.

Perdana Menteri memberitahu, kerajaan mempunyai tanggungjawab membantu golongan muda untuk mencapai matlamat tersebut.

Beliau turut menyifatkan inisiatif yang diilhamkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama itu sebagai kaedah yang berkesan untuk membantu usahawan teknologi muda.

"Jika kita ingin mengubah dunia, kita perlu memulakannya dengan golongan muda.

Golongan muda mempunyai tenaga, semangat dan kreativiti namun mereka memerlukan ekosistem yang membolehkan mereka menjadikan impian sebagai realiti," katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran MaGIC di Cyberjaya hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MaGIC, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Perdana Menteri sebelum itu melancarkan program Usahawan 1Malaysia (1MET) dan merasmikan Obama Oval di pekarangan bangunan MaGIC.

Lebih 8,000 belia yang bergiat dalam bidang keusahawanan teknologi menghadiri majlis tersebut.

Najib menambah, MaGIC bersedia membantu usahawan teknologi muda dengan menyediakan modal teroka dan modal permulaan untuk perniagaan mereka.

Menurut beliau, bimbingan juga diberikan dari segi teknikal, perancangan perniagaan serta penyelidikan dan pembangunan.

"Saya amat teruja dengan inisiatif ini dan percaya MaGIC boleh menjadi pemangkin kepada kemunculan lebih ramai usahawan teknologi muda," ujarnya.

Perdana Menteri juga yakin kejayaan usahawan teknologi muda di bawah MaGIC akan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara dan dunia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment