My Add

Thursday, 3 April 2014

MITI sedia RM2 juta bagi program mempertingkat daya saing vendor PKS

RAWANG, RABU, 02 April, 2014: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyediakan peruntukan RM2 juta pada tahun ini bagi membantu syarikat milik bumiputera melalui Program Mempertingkat Daya Saing Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Timbalan Menterinya, Datuk Hamim Samuri berkata, peruntukan itu akan disalurkan melalui Sirim Bhd. bagi membantu vendor Bumiputera dalam mengetengahkan produk syarikat dalam pasaran.

"Sehingga kini, terdapat 20 syarikat PKS yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk berkembang maju dan kami akan mendekati syarikat-syarikat ini untuk membantu mereka mengenal pasti ruang-ruang dalam perniagaan yang boleh diperbaiki," kata Hamim selepas program lawatan kerja ke syarikat Petroclamp Sdn. Bhd. di Rasa, dekat sini hari ini.

Hamim berkata, MITI memperuntukkan RM500,000 pada tahun lepas tetapi jumlah tersebut tidak tertakluk kepada bidang-bidang mahupun sektor tertentu.

"Sebanyak RM40,000 telah dibelanjakan setakat ini bagi menganjurkan seminar bagi vendor Bumiputera," katanya.

Syarikat Bumiputera dari sektor minyak dan gas, elektrik dan elektronik serta automotif antara 20 syarikat vendor yang terlibat dalam program tersebut.

Petroclamp, antara vendor Petronas, ialah syarikat yang distrukturkan untuk terlibat secara aktif dalam petrokimia dan kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan fabrikasi keluli dalam petrokimia, minyak hiliran dan industri gas. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment