Penculik selatan Filipina gagal tembusi ESSZone
LAHAD DATU, ISNIN, 28 Aprril, 2014: Sekumpulan penculik Filipina yang cuba memasuki negara ini melalui perairan Semporna dikatakan terpaksa mengubah haluan ke perairan negara jiran di utara Sabah selepas gagal menembusi kawalan ketat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Mohammad Mentek berkata, mereka bertindak melakukan jenayah penculikan di negara mereka sendiri iaitu di kawasan perairan antara Pulau Cagayan dan Pulau Palawan.
Menurut Mohammad, berdasarkan maklum balas bahagian risikan, kumpulan penjenayah yang menggunakan kapal layar tersebut berjaya menculik dua pelancong asing di situ minggu lepas.
Ujar Mohammad, beliau telah mengarahkan anggota pasukan keselamatan di ESSZone yang membabitkan 10 daerah dari Kudat hingga Tawau supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kita memandang serius kes cubaan masuk kumpulan penculik yang terbaharu ini melalui perairan Semporna.
"Kita tidak mahu kes penculikan di Singamata Resort pada 2 April lalu berulang," jelasnya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment