My Add

Thursday 1 May 2014

Melaka ke arah bandar raya tanpa tunai

 * IDRIS Haron (dua dari kiri) menerima replika kad My Melaka yang disampaikan oleh Zainal Abidin Putih (dua dari kanan) selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di Melaka, semalam. Turut kelihatan, Abdul Karim Md. Lassim (kanan). - BERNAMA
MELAKA, RABU, 30 April, 2014: Melaka akan menjadi bandar raya tanpa tunai pertama di negara ini apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Touch n Go Sdn. Bhd. (TnG) hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, MoU itu adalah langkah awal bagi kerajaan negeri menggerakkan penggunaan kad TnG tersebut yang akan dikenali sebagai kad My Melaka.

Menurutnya, dengan termeterainya persefahaman itu, kerajaan negeri akan melaksanakan sistem pembayaran secara elektronik yang pertama di negara ini.

“Ini merupakan peringkat awal ke arah negeri bandar raya tanpa tunai dan sistem ini akan memberi pendedahan kepada masyarakat untuk kemajuan teknologi.

“Dalam masa sama, penggunaan kad My Melaka meningkatkan keselamatan para pengguna kerana mereka tidak lagi perlu membawa wang tunai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan MoU antara kerajaan negeri melalui Bahagian K-Ekonomi dengan TnG dan Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH) di sini.

Bahagian K-Ekonomi diwakili Ketua ICT negeri, Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, TnG oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mas Parwin Mahamooth manakala MICTH diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Md. Lassim.

Turut menyaksikan MoU itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin; Timbalan Pengerusi MICTH, Datuk Wizan Abdul Ghani dan Pengerusi TnG, Datuk Zainal Abidin Putih.

Idris berkata, sebagai permulaan, kad My Melaka itu akan digunakan di pusat-pusat tumpuan pelancong antaranya Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Pusat Hang Tuah dan Muzium Istana Kesultanan Melaka.

Premis-premis lain antaranya Baskin Robbins, Dunkin Donuts, The Chicken Rice Shop dan Watson's Personal Care Stores, tempat letak kereta di Dataran Pahlawan, Melaka Megamall, Hatten Square dan Mahkota Parade.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, MoU tersebut memboleh­kan TnG merealisasikan inisiatif bandar raya tanpa tunai di negara ini.

“Ia sememangnya menjadi aspirasi kami untuk meluaskan penggunaan TnG di pelbagai sektor selain daripada lebuh raya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment