My Add

Thursday, 3 April 2014

PNB optimis ASB2 tarik golongan muda

KUALA LUMPUR, RABU, 02 April, 2014: Permodalan Nasional Berhad (PNB) yakin Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) berupaya menarik golongan muda terutama yang berusia 19 hingga 34 tahun.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, setakat ini sebanyak 28.1 peratus atau 3.3 juta akaun daripada jumlah pemegang unit saham PNB terdiri daripada golongan muda.

Sehubungan itu katanya, pelancaran ASB2 hari ini mampu menawarkan satu lagi pilihan terbaik kepada golongan muda untuk membuat pelaburan kewangan demi masa depan.

“Kita berharap dengan adanya ASB2 ini, golongan muda lebih tertarik untuk melabur dalam skim-skim unit amanah yang ditawarkan menerusi PNB," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran ASB2 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

ASB2 merupakan dana unit amanah saham yang ke-10 diuruskan PNB dengan saiz dana ditawarkan berjumlah 10 bilion unit.

Bagi menggalakkan para pe­labur memilih ASB2, PNB memperuntukkan RM10 juta untuk pelbagai insentif.

Mereka yang berdaftar mulai hari ini sehingga 31 Disember 2014 akan menerima 10 unit ASB2 percuma yang akan dikreditkan ke akaun pemegang unit.

Sehingga kini, kata Ahmad Sarji, PNB berjaya menguruskan 184.86 bilion unit saham yang dimiliki oleh 11.81 juta pemegang akaun.

Beliau berkata, pelaburan itu menghasilkan penubuhan dana bernilai RM267.8 bilion bersamaan 16 peratus daripada permodalan pasaran negara.

“PNB juga telah mengagihkan pendapatan yang kompetitif kepada para pelabur dengan jumlah dividen dan bonus diagihkan berjumlah RM116 bilion," katanya.

Pada masa sama, kata beliau, PNB turut memegang ekuiti dalam 200 buah syarikat dan hampir kesemuanya menyalurkan dividen yang amat memuaskan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment