Tiada ketirisan projek klia2
Oleh NURUL HUDA HASSAN
JOHOR BAHRU, AHAD, 27 April, 2014: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) percaya punca kelewatan dan peningkatan kos pembinaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bukan disebabkan berlakunya ketirisan.
Sebaliknya, Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perancangan yang berubah-ubah mengakibatkan pelaksanaan tidak licin dan kos meningkat kerana keperluan baharu yang diselitkan selepas perancangan asal dibuat.
"Jadi, esok kita harap dapat penjelasan daripada pihak AirAsia pula berhubung perkara yang membabitkan pembinaan klia2," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tindakan Daerah Johor Bahru, di sini hari ini.
Laporan sebelum ini menyebut AirAsia enggan berpindah dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ke klia2 kerana bimbang terhadap tahap keselamatan dan operasi penerbangan lapangan terbang antarabangsa itu.
Nur Jazlan berkata, PAC memanggil AirAsia berikutan hasil penjelasan yang dibuat oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada pihaknya baru-baru ini berhubung pelbagai isu membabitkan klia2.
Tambahnya, sesi penjelasan AirAsia yang dijangka dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandez adalah perlu bagi memastikan laporan disediakan PAC adil sekali gus ia kelak diharap dapat memberi gambaran jelas berhubung isu itu.
"Kita juga mahu dengar daripada AirAsia sama ada apa yang diperjelaskan MAHB itu benar atau tidak bahawa AirAsia mempunyai peranan besar di atas kelewatan klia2 yang menyebabkan pertukaran dari segi perancangan dan sebagainya," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment