My Add

Thursday 8 September 2011

Khalid Samad tuduh UMNO dalang tindakan JAIS

SETELAH permohonannya untuk mendapat tauliah berceramah ditolak, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Abdul Samad terus mengaitkan UMNO sebagai dalang dalam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ahli Parlimen Shah Alam itu, yang tidak berpuas hati dengan tindakan JAIS, mendakwa UMNO menyalahgunakan pengaruh mereka untuk merosakkan JAIS yang sepatutnya menjadi sebuah badan bebas.

"Saya minta benda ini dibetulkan. Dr Rani Ohthman (Pesuruhjaya PAS Selangor) juga tak disambung tauliahnya. Beliau memohon supaya disambung tetapi telah ditolak tanpa sebarang sebab yang dinyatakan.

"Umno takut sebab PAS dilihat lebih mendekati masyarakat melalui aktiviti ceramah di surau dan masjid. Jadi bila kita dekat dengan masyarakat, Umno buatlah larangan," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PAS di Shah Alam.

Khalid dilaporkan memberi keterangan kepada JAIS semalam kerana didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah di sebuah surau di Selangor bulan lalu dan akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Klang pada 24 November ini atas dakwaan tersebut.

Berdasarkan Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, individu yang mengajar agama Islam atau perkara berkenaan Islam tanpa tauliah di bawah Seksyen 118, melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Dr Rani mendakwa terdapat campur tangan pihak tertentu yang menyebabkan tauliahnya tidak disambung.

"Kita (beliau dan Khalid) tidak ada masalah dengan JAIS mahupun MAIS (Majlis Agama Islam Selangor). Saya pernah dapat tauliah dahulu, tetapi baru-baru ini saya minta untuk dilanjutkan tauliah tetapi ditolak tanpa sebarang sebab.

"Saya akan ke JAIS nanti untuk mengetahui sebab permohonan ditolak," katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru.

No comments:

Post a Comment