My Add

Saturday, 3 September 2011

Mat Sabu enggan minta maaf, Mat Indera tetap hero

MOHAMAD Sabu tidak akan mohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong seperti mana yang diminta sekutu rapatnya, Karpal Singh.

Malah, Timbalan Presiden Pas itu tetap berpegang dengan kenyataannya bahawa Mohammad Indera atau Mat Indera, tali barut komunis dalam tragedi tersebut sebagai pejuang kemerdekaan atas dasar perjuangan menentang penjajah sebelum negara merdeka.

Menurut laporan Utusan Malaysia dari Kota Bharu, Mat Sabu tidak mahu memberi jawapan yang jelas apabila ditanya wartawan apakah polis yang terbunuh dalam serangan komunis di Bukit Kepong pada tahun 1950 itu tidak berjasa kepada negara.

“Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan pihak polis jangan panik sebelum 31 Ogos waktu itu kerajaan memerintah adalah British selepas 31 Ogos baru kerajaan Malaya merdeka.

“Ini fakta, perkara biasa, jangan kita anggap bahawa selepas 31 Ogos ada kerajaan yang sama, bendera lain, lagu pun lain, Negaraku sebelum itu lagu God Save The Queen jadi kita kena bezakan sebelum dan selepas merdeka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas Kelantan.

Ketika diasak oleh wartawan apakah beliau tidak mengiktiraf pengorbanan polis-polis yang terbunuh dalam tragedi tersebut, beliau berkata:

“Tafsiran saya, mereka bekerja dengan pihak British. Polis bila-bila pun terkorban, dikorban dan berkorban kerana mereka ikut dasar pemerintah yang menguasai mereka dan di antara mereka mungkin adalah saudara-saudara kita yang kita simpati.

“Saya tidak buat apa-apa tafsiran (apakah mereka berjasa atau tidak). Bagi saya Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan tafsiran seseorang macam Tok Janggut dan Abdul Rahman Limbong yang menyerang balai polis di Kuala Berang, begitu juga Mat Kilau semua mereka tentang pemerintah British,” katanya.

Semalam, Karpal yang juga Pengerusi DAP mendesak Mat Sabu menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong.

Menurut Karpal, rentetan peristiwa Bukit Kepong tidak boleh dipertikaikan dan mesti diterima kerana dokumen sejarah telah menyatakan bahawa anggota polis dan keluarga mereka berjuang menentang gerila komunis.

Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata, beliau akan bertemu dengan Karpal untuk menjelaskan isu tersebut.

“Itu kebebasan seseorang memberi pandangan dan saya sendiri akan bertemu dengan beliau (Karpal) untuk bertukar-tukar fikiran, tidak ada masalah dalam pakatan, sudah banyak kali ada perbezaan pandangan tetapi selalunya ada jalan pertemuan,” katanya.

Tambah beliau, Pas Pusat masih belum mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu tersebut kerana beranggapan ia bukan perkara mustahak dan menegaskan pandangannya dalam isu Bukit Kepong itu bukan pandangan rasmi Pas.

“Sebenarnya saya memberi ceramah mengenai kemerdekaan sudah bertahun-tahun tetapi sekarang cuba dipusingkan kerana masalah besar negara sekarang adalah masalah keyakinan rakyat terhadap pilihan raya di Malaysia.

“Terbongkarnya daftar pemilih yang begitu pincang yang akhirnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRbersedia untuk bertemu dengan pertubuhan haram, Bersih,” katanya.

No comments:

Post a Comment