My Add

Saturday 10 September 2011

Najib: Kaji balik cukai 6%, beban rakyat, ramai bantah

PERDANA Menteri mahu syarikat telekomunikasi mengkaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna ke atas produk tambah nilai dan pek permulaan apabila keputusan dilihat membebankan rakyat.

Menurut laporan Utusan Malaysia, selain Datuk Seri Najib Razak kurang senang dengan keputusan itu, persatuan-persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar sekata membantah keputusan tersebut.

Berkuatkuasa 15 September ini pengguna telefon mudah prabayar akan dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus apabila mereka membeli pek permulaan atau tambah nilai.
Pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhodmatan.

Menurut Najib, keputusan itu kini dilihat membebankan rakyat dan keputusan yang diambil sendiri syarikat telekomunikasi merupakan satu keputusan yang tidak popular selepas beliau mengambil kira pandangan dan maklum balas dari pengguna.

Katanya, fokus utama ketika ini, sepatutnya untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya mengambil keputusan untuk menambah beban.

"Saya dah dapat banyak reaksi dan maklumat timbal balas dari orang ramai bahawa langkah yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi mengenakan cukai perkhidmatan kepada pengguna adalah suatu yang tidak popular dan sukar diterima oleh rakyat.

"Saya berharap syarikat telekomunikasi dapat kaji semula langkah ini kerana hari ini kita hendak kurangkan beban kepada rakyat.

"Kini rakyat terpaksa menanggung kos perbelanjaan serba-serbi dan ada sesetengah bahan makanan sudah bertambah harga, kita hendak kurangkan bebanan pada rakyat," katanya.

Najib berkata, kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan caj cukai 6.0 peratus berkenaan sebaliknya ia dibuat syarikat telekomunikasi sendiri.

"Kita tidak pernah luluskan, keputusan dibuat pihak syarikat telekomunikasi sendiri," katanya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim pula menjlesakan, kerajaan tidak campur tangan dalam keputusan syarikat telekomunikasi mengenakan cukai prkhidmatan itu.

Rais berkata, keputusan itu termasuk di dalam tanggungjawab korporat di bawah perundangan, peranan perbendaharaan serta mekanisme percukaian yang diluluskan Parlimen.

"Ini perlu diselesaikan oleh pelbagai syarikat (telekomunikasi) itu sendiri. Kita tidak mempunyai peranan secara langsung terhadapnya," katanya.

Sejak pelancaran perkhidmatan prabayar pada 1998, syarikat telekomunikasi menyerap cukai itu, yang mereka dakwa sebagai cukai penggunaan dan boleh dikenakan terhadap pelanggan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma‘amor Osman berkata, cukai itu dilihat membebankan pengguna apatah lagi caj panggilan yang dikenakan ketika ini sudah mahal.

“Keputusan itu tidak masuk akal dan kami membantah perlaksanaanya. Selama ini, jika kita membuat panggilan dan tidak berjawab, ia tetap dikenakan caj, inikan pula hendak perkenalkan cukai perkhidmatan.

“Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan membuat keputusan teliti dan jangan sewenang-wenangnya meluluskan permintaan syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut,” katanya.

Mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan syarikat-syarikat telekomunikasi berhubung pengenalan cukai itu. Maamor berkata,selama ini syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sentiasa mencatatkan keuntungan yang tinggi.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (Cassa) meminta kerajaan membekukan perlaksanaan langkah itu.

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, pengenalan cukai itu tidak releven dengan situasi ekonomi semasa yang menyaksikan rakyat berpendapatan rendah masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan kos barangan yang lain.

“Kami sangat dukacita kerana industri itu hanya melihat dari satu pandangan sahaja iaitu meningkat keuntungan mereka tanpa mempedulikan nasib pengguna.

“Selama ini, syarikat-syarikat berkenaan sudah mengaut keuntungan lumayan bukan sahaja melalui 15 juta rakyat tempatan tetapi juga daripada lebih empat juta pekerja asing di negara ini yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Apakah semua itu tidak cukup lagi sehingga mahu menekan pengguna dan rakyat negara ini pula,” katanya.

Menurutnya, jika keputusan tersebut dikekalkan, Cassa akan bekerjasama dengan persatuan pengguna dan NGO lain untuk melancarkan kempen memboikot secara besar-besaran.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, cukai itu dilihat sebagai cekik darah dan tidak perlu sama sekali.

“Pengguna menggunakan kad prabayar kerana mereka tidak merasa beban berbanding menggunakan talian yang kadang-kala mencecah ratusan ringgit apabila membuat pembayaran.

“Malahan, ada kad prabayaran yang boleh ditambah nilai dengan hanya RM5 tetapi jika mereka kenakan cukai, ia dilihat seperti membuli pengguna dan ia tidak patut berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment