My Add

Thursday 12 April 2012

4 lelaki termasuk pegawai polis didakwa culik anak peniaga

PETALING JAYA, KHAMIS, 12 APRIL, 2012: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan tiga yang lain didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang anak ahli perniagaan bagi menuntut wang tebusan sebanyak RM1.5 juta bulan lalu. 

Pegawai polis itu yang kini digantung tugas, R. Raja Kumar, 44, peniaga G. Thiagarajah, 37, M. Ramu, 35, dan K. Shashi, 26, kedua-duanya pengawal keselamatan, hanya mengangguk apabila pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dan mahkamah menetapkan 16 Mei untuk sebutan kes.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang tinggal di Rawang dekat sini didakwa menculik Tan Boon Hin, 34, pengurus projek di sebuah syarikat kejuruteraan, dengan mengurungnya di sebuah rumah di Lot 3, Jalan 6/3, Kawasan Perusahaan Seri Kembangan, Serdang dekat sini pada jam 10.20 pagi, 22 Mac lalu. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin manakala Raja Kumar diwakili peguam S.S Dev dan tiga yang lain diwakili peguam Rajpal Singh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment