My Add

Thursday 12 April 2012

Banjir di Kuala Dipang semakin buruk,1,145 orang dipindah

KEDIAMAN penduduk di Kampung Nyior, Kuala Dipang dekat Kampar dinaiki air akibat hujan lebat sejak tengah malam tadi. Banjir terburuk sejak 30 tahun itu menyebabkan penduduk berkenaan terpaksa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar, Perak, hari ini. - Foto L Manimaran

20 rumah rosak,
ribut landa Kuala Nerang

KAMPAR, RABU, 12 April, 2012:
Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan banjir di Kuala Dipang meningkat kepada 1,145 orang daripada 254 keluarga.

Sebelum ini, kira-kira 500 penduduk dari 124 keluarga yang tinggal di beberapa kampung di sekitar Kuala Dipang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir apabila rumah mereka dinaiki air sehingga ke paras bumbung sejak jam 5 pagi tadi.

Menurut BERITA HARIAN ONLINE, banjir terburuk sejak 30 tahun itu menyebabkan penduduk berkenaan terpaksa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar.

Pegawai Daerah Kampar, Ismail Hassan, berkata banjir kilat mula berlaku jam 5 pagi dengan kawasan terjejas termasuk Kampung Kuala Dipang, Kampung Pasir, Kampung Baru Kuala Dipang dan Kampung Nyior.

Beliau berkata, kejadian berpunca limpahan air Sungai Kampar akibat hujan lebat sejak tengah malam tadi dan diburukkan lagi dengan kejadian dua tebing sungai yang pecah.

Di ALOR SETAR, dilaporkan ribut kuat disertai hujan lebat kira-kira 15 minit di pekan Kuala Nerang dekat sini, petang semalam menyebabkan hampir 20 rumah dan berbelas kedai serta gerai rosak.

BERNAMA melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, berkata rumah yang rosak teruk ialah di Kampung Bendang, Kampung Baru, Kampung Semeliang dan Kampung Seberang serta beberapa taman perumahan di pekan Kuala Nerang.

"Saya bersama Pasukan Bertindak ADUN Kuala Nerang melancarkan operasi memberi khidmat bantuan kepada mangsa ribut dan menebang pokok yang tumbang menimpa rumah dan gerai sehingga tengah malam tadi.

"Khidmat ini disambung hari ini. Bantuan segera RM500 diberi kepada pemilik rumah yang mengalami kerosakan teruk manakala pengusaha gerai antara RM100 dan RM200," katanya ketika ditemui hari ini. 

Seorang ibu tunggal, Rokiah Ahmad, 63, dari Kampung Seberang berkata, ribut dan hujan lebat pada kira-kira jam 6 petang itu berlaku hanya beberapa minit. 

"Makcik berada di depan rumah masa ribut kuat itu. Kami hanya mampu melihat bumbung rumah diterbangkan dan air hujan memasuki rumah," katanya yang tinggal bersama dua anak termasuk seorang anak kelainan upaya (OKU). 

Peniaga pakaian di depan stesen bas baru Kuala Nerang, Azizah Osman, 53, pula berkata beliau kerugian hampir RM8,000 akibat kejadian itu manakala 12 lagi peniaga di tapak perniagaan itu kerugian antara RM400 hingga RM500 seorang selepas barang perniagaan mereka diterbangkan angin dan rosak terkena hujan. 

Pengusaha kedai besi, Ching Yu Chai, 53, berkata bumbung kedainya rosak ditimpa pokok petai yang tumbang akibat ribut itu. 

Sementara itu, seorang jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dihubungi berkata, bantuan membaikpulih rumah mangsa ribut akan dikeluarkan selepas bancian dan penilaian yang dibuat hari ini selesai. 

No comments:

Post a Comment