My Add

Saturday 7 April 2012

9,000 anak benih kelapa sawit diagih kepada 60 ahli PPK

TAWAU, SABTU, 07 April, 2012: Sebanyak 9,000 anak benih kelapa sawit hari ini diagihkan kepada 60 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang juga pekebun kecil di kawasan Parlimen Kalabakan sebagai usaha menggalakan pekebun berkenaan mengusahakan tanah bagi meningkatkan taraf hidup mereka. 

Pemberian anak benih kelapa sawit di bawah peruntukkan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Kalabakan kepada semua penerima berkenaan disempurnakan oleh pengerusi MPPP Kalabakan yang juga Anggota Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh. 

"Sebenarnya pada peringkat awal, kami bercadang untuk memberi benih sebanyak 250 pokok setiap seorang ataupun untuk keluasan dua hektar tanah namun disebabkan permohonan yang terlalu banyak maka kita berikan 150 pokok saja dulu," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan benih pokok itu di sini, hari ini.

Abdul Ghapur berharap semua penerima akan memanfaatkan sepenuhnya bantuan kerajaan berkenaan dengan tidak menjualnya kepada orang lain demi mendapatkan keuntungan segera. 

Menurut beliau, bantuan benih berkenaan sebenarnya cuma sebahagian daripada pelabagai bantuan yang sudah disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui pelbagai agensi di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk kesejahteraan rakyat. 

Terdahulu Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kalabakan, Ismail Ayid dalam ucapannya berkata, bantuan anak benih sawit yang berusia empat bulan itu dijangka akan memberi pulangan yang lumayan kerana ia boleh menghasilkan sebanyak 100 metrik tan sebulan. 

Beliau juga berkata, pihaknya sudah memperoleh sebidang tanah seluas dua hektar untuk membina pejabat dan pusat aktiviti peladang kawasan Kalabakan dan PPK Kalabakan menerima pertuntukan sebanyak RM1 juta untuk membangunkan kawasan berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment