JERANTUT, SABTU, 07 April, 2012: Syarikat dari luar tidak mungkin menguasai Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) pada bila-bila masa sekalipun memandangkan peratus saham yang ditawarkan kepada mereka sangat kecil, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad.
Beliau berkata Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan terus menjadi pemegang saham terbesar FGVH, selain syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang turut ditawarkan saham.
"Satu perkara yang mustahil untuk syarikat atau orang luar menguasai FGVH memandangkan hanya beberapa peratus saja kita peruntukan untuk syarikat luar negara yang boleh menyertai dan membantu kita dalam perniagaan pada masa akan datang.
"Satu perkara yang mustahil untuk syarikat atau orang luar menguasai FGVH memandangkan hanya beberapa peratus saja kita peruntukan untuk syarikat luar negara yang boleh menyertai dan membantu kita dalam perniagaan pada masa akan datang.
"Kita telah pastikan peratus yang diperuntukkan untuk KPF, institusi pelaburan biasa dan pihak kerajaan negeri, yang menjadikan peratusan itu masih dikuasai pihak kita, Insya-Allah FGVH akan selamanya milik kita dan terus menjadi syarikat milik orang Melayu," katanya kepada pemberita pada majlis bersama warga Felda Wilayah Jengka di Felda Kota Gelanggi 1 di sini hari ini.
Mohd Isa berkata penstrukturan saham untuk syarikat luar itu kini di peringkat akhir pemilihan, iaitu syarikat yang dilihat paling sesuai memiliki saham FGVH berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata selain seramai 112,635 peneroka yang menjadi anggota KPF yang turut diberikan peratusan saham berkenaan, peneroka yang menolak penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia turut diberikan saham berdasarkan status mereka sebagai peneroka Felda.
"Mereka ini akan turut diberikan saham walaupun ada peneroka lain marah, tapi kita kena beri juga sebab mereka peneroka, sama ada mereka yang menentang ini akan jadi anggota KPF atau tidak, biarlah anggota KPF sendiri yang tentukan," katanya.
Mohd Isa berkata golongan yang menentang penyenaraian itu kini semakin berkurangan kerana ramai dalam kalangan mereka sudah mula memahami tujuan penyenaraian dan manfaat untuk mereka.
Bagaimanapun katanya, sesi penerangan mengenai penyenaraian itu akan diteruskan bagi memberi pemahaman, terutama tentang faedah yang bakal dinikmati oleh peneroka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment