My Add

Tuesday 3 April 2012

Dewan kecoh: 22 syor PSC dilulus tanpa dibahas

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 April, 2012: – Dewan Rakyat hari ini meluluskan kesemua 22 syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa dibahaskan.

Keputusan berkenaan dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada pukul 3 petang selepas usaha menenangkan kesemua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang gagal.

Beliau telah mengarahkan tiga Ahli Parlimen pembangkang iaitu Azmin Ali (PKR-Gombak), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) keluar dewan kerana terus mempertikaikan keputusan beliau menolak usul Loke Siew Fook (DAP-Rasah) untuk membenarkan laporan minoriti dilampirkan di dalam laporan akhir jawatankuasa itu.

Ketiga-tiga wakil rakyat itu diarahkan keluar kerana melanggar Peraturan Mesyuarat 42 yang meminta supaya Ahli Parlimen diam ketika Speaker bercakap.

"Di bawah Peraturan Mesyuarat 43, keputusan Speaker tidak boleh dipersoalkan. Di bawah Peraturan Mesyuarat 44, saya dengar tadi disebut oleh Yang Berhormat Kangar (Datuk Seri Mohd Radzi Syeikh Ahmad) yang ingkar dan melengahkan majlis supaya diambil tindakan.

"Di atas sebab itu saya dengan ini mengarahkan Gombak, Subang dan Kuala Selangor keluar,” kata Pandikar Amin dengan tegas.

Tindakan berkenaan menimbulkan kemarahan ahli pembangkang termasuk ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang cuba mempertahankan anak buahnya dan meminta Pandikar Amin menarik balik arahan itu.

Bagaimanapun, Speaker tetap berkeras dengan arahannya sekaligus mengundang kemarahan pembangkang yang meminta beliau meninggalkan kerusi, ditambah dengan ejekan anggota penyokong kerajaan yang meminta semua pembangkang keluar dewan.

"Memandangkan bahawa Ahli Yang Berhomat daripada pembangkang tidak berniat untuk membahaskan usul ini, dengan adanya kuasa pada Speaker, saya mengemukakan usul kepada majlis untuk diputuskan.

"Masalahnya ialah bahawa usul Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, usul mengikut peraturan mesyuarat 86(5) seperti yang tertera hendaklah dipersetujukan,” tegas beliau.

Dalam suasana kecoh itu, usul berkenaan mendapat sorakan ”setuju” yang kuat daripada ahli penyokong kerajaan, namun Pandikar Amin masih memberi peluang kepada pembangkang untuk membuat undi belah bahagian.

Bagaimanapun, pembangkang enggan berbuat demikian dan memaksa keputusan diluluskan tanpa dibahaskan oleh Speaker mengikut suara majoriti.

"Kalau mahu belah bahagian, bagi tahu. Kalau tidak, bagi saya keputusan telah tercapai. Usul dipersetujui,” katanya dan terus mengumumkan penangguhan persidangan Dewan Rakyat untuk bersambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment