PUTRAJAYA, SELASA, 03 April, 2012: Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) mahu supaya kenyataan berbentuk tuduhan dihentikan serta-merta demi memelihara hubungan dan semangat muhibah antara penganut pelbagai agama yang terjalin selama ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan salah faham.
Semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memastikan hubungan baik antara penganut agama dapat dipelihara dan diperkukuhkan dengan mematuhi undang-undang sedia ada, katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini.
"JKMPKA menggesa mana-mana pihak terlibat untuk membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan dengan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” kata beliau.
Mesyuarat hari ini disertai Jawatankuasa Kerja Persefahaman Terhadap Isu-isu Antara Penganut Agama, Jawatankuasa Kerja Mediasi Antara Penganut Agama dan Jawatankuasa Kerja Acara Bersama Kerajaan dan Pemimpin Masyarakat untuk membentangkan program-program yang akan dilaksanakan tahun ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment