My Add

Wednesday 18 April 2012

Dua pegawai tanah Melaka didakwa rasuah

AYER KEROH, RABU, 18 April, 2012: Dua termasuk seorang Penolong Pengarah di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan negeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menerima rasuah berkaitan urusan pengambilan tanah di Melaka, pada pertengahan tahun lalu. 

Lilyhanah Abdul Salam yang bertugas sebagai Penolong Pengarah di Unit Pengambilan Tanah dan Danial Rahmad, Penolong Pegawai Tanah di unit sama, didakwa melakukan perbuatan itu di daerah Melaka Tengah antara Julai dan Ogos lalu.
Mereka masing-masing menghadapi satu pertuduhan berasingan dan satu tuduhan bersama.

Lilyhanah, 29, didakwa menerima suapan sebanyak RM5,000 dari Tee Seng Hoo melalui orang tengah, Toh Meng Leng sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal iaitu membantu mengelak tanah milik Tee Seng Hoo di Lot 2288 Mukim Sungai Udang diambil semula. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Maybank Cawangan Cheng, Taman Cheng Baru, kira-kira jam 10.35 malam, pada 8 Ogos tahun lalu. 

Danial, 46, didakwa menerima merasuah sebanyak RM5,000 dari Tee melalui Battua Abd Rahman sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal untuk membantu mengelak tanah milik Seng Hoo di Lot 2288 Mukim Sungai Udang diambil semula. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di daerah Melaka Tengah, antara 16 hingga 31 Julai tahun lalu. 

Bagi pertuduhan bersama pula, Lilyhanah dan Danial didakwa bersetuju menerima rasuah sebanyak RM5,000 dari Seng Hoo melalui Meng Leng sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal iaitu membantu mengelak tanah milik Seng Hoo di Lot 2288 Mukim Sungai Udang diambil semula. 

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Maybank Cawangan Cheng, Taman Cheng Baru, kira-kira jam 10.35 malam, pada 8 Ogos tahun lalu. - BEITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment