My Add

Sunday, 22 April 2012

Guna saluran betul suara bantahan, bukan berdemonstrasi

KOTA KINABALU, AHAD, 22 April, 2012: Rakyat sepatutnya menggunakan saluran yang betul berlandaskan undang-undang dalam menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati atau dan bantahan dan bukannya dengan cara berdemonstrasi yang jelas mencemarkan imej negara, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. 

Beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai platform dan saluran untuk rakyat berbuat demikian.

Sambil menasihatkan rakyat di negara ini agar tidak terikut-ikut dengan budaya hidup di sesetengah negara yang suka berdemonstrasi bagi menyuarakan bantahan, beliau berkata amalan itu tidak semestinya baik untuk masyarakat di negara ini.

"Anda perlu bijak menilai sama ada budaya ini (berdemonstrasi) memberi manfaat kepada rakyat atau tidak...ini bukan budaya dan cara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Usahawan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012 di Kompleks Sukan Likas, dekat sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan siswa berkhemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sejak lebih seminggu lalu bagi mendesak pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan. 

Kepada soalan adakah perhimpunan itu yang dikatakan didalangi pembangkang merupakan agenda pembangkang untuk memburukkan negara, Anifah berkata motif pembangkang memang sedemikian. 

Beliau berkata penganjuran program yang bertentangan dengan cara hidup dan ajaran agama Islam di negara ini adalah dilarang. 

Ketika ditanya sama ada beliau sedia bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum akan datang, Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata: "Saya berbesar hati untuk berkhidmat di bawah Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), saya akan lakukan yang terbaik untuk negara dan negeri ini". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment