My Add

Saturday 28 April 2012

Himpunan hijau tapi desak rakyat tumbangkan kerajaan

KUALA LUMPUR, SABTU, 28 April, 2012:
HIMPUNAN Hijau yang diadakan di ibu negara hari ini menjadi gelanggang Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh untuk menghasut rakyat menumbangkan kerajaan.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan berkata, Barisan Nasional (BN) sudah terlalu lama memerintah iaitu 54 tahun. 

Pembangkang bertumpu di Dataran Merdeka

PARA penyokong parti pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka termasuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali walaupun mereka dilarang berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Kira-kira 4,000 orang kini berhimpun di kawasan itu selepas mereka berarak dalam kumpulan-kumpulan kecil dari Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalam Sultan Ismail, Jalan Brickfields dan dari Jalan Pudu.
SEBAHAGIAN penyokong BERSIH 3.0 berkumpul dengan dikawal anggota keselamatan di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, tengah hari ini. - Foto Aizuddin Saad


58 jalan di Ibu Negara ditutup


KESESAAKAN jalan yang teruk dilaporkan berlaku di pinggir pusat bandar apabila polis terpaksa menutup 58 jalan serta susur laluan berikutan perhimpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang hari ini.

Polis Kuala Lumpur melalui laman facebook pasukan itu menjelaskan, laluan tesebut ditutup secara berperingkat sejak 6 pagi dan akan dimaklumkan pembukaannya kemudian.

"Ekoran perhimpunan itu beberapa batang jalan pula akan dilencongkan", menurut laman facebook tersebut. 

Lim Kit Siang sertai perhimpunan di Masjid Negara

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang antara pemimpin pembangkang yang menyertai peserta perhimpunan haram Bersih 3.0 yang menjadikan Masjid Negara sebagai tempat untuk mereka berkumpul.

Kit Siang tiba pada pukul 12 tengah hari di kawasan tersebut dengan disambut oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sudah berada di masjid berkenaan sejak pukul 11.00 pagi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tiba di kawasan Masjid Negara pada pukul 12.40 tengah hari.

Sehingga pukul 1.00 tengah hari, seramai 4,000 orang berhimpun di sekitar Masjid Negara sambil melaungkan takbir 'Allahuakbar' dan `Tumbang BN'. - Utusan

PESERTA BERSIH 3.0 bertindak liar apabila merempuh pagar penghadang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Effendy Rashid


Keadaan Terkawal - PDRM


KEADAAN di sekitar Dataran Merdeka masih terkawal sehingga pukul 1.00 petang ini dan tiada kejadian tidak diingini berlaku walaupun ribuan peserta Bersih 3.0 berkumpul di kawasan berkenaan sejak pagi.

Pegawai Perhubungan Awam Ibu Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rasdi Ramli berkata, polis masih berada dalam keadaan berjaga-jaga dan memantau keseluruhan gerakan peserta perhimpunan tersebut.

``PDRM bertanggungjawab memastikan ketenteraman awam terpelihara agar tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

``Polis akan bertindak ke atas mereka yang melampaui batas dan melanggar perintah mahkamah di bawah Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah yang dikeluarkan kelmarin.'' katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, peserta perhimpunan sehingga pukul 1 petang dianggarkan kira-kira 25,000 orang.

Provokasi: FRU beri amaran bersurai

PESERTA perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka bertempiaran lari apabila Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membunyikan loceng amaran sebelum mereka bertindak selepas pelbagai provokasi dilakukan terhadap pasukan keselamatan itu.

Kira-kira 10,000 peserta termasuk pemimpin pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka dan sebahagian besar melarikan diri ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman.

300 berhimpun di Jalan Tun Sambanthan

HAMPIR 300 penyokong perhimpunan Bersih 3.0 yang berkumpul di sekitar Jalan Tun Sambanthan mula bergerak ke Dataran Merdeka.

Setakat ini tiada pemimpin pembangkang kelihatan di lokasi. 

SEBAHAGIAN penyokong BERSIH 3.0 berarak melintasi barisan anggota polis yang mengawal sekitar laluan ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, tengah hari ini. - Foto Nik Hariff Hassan


Kanak-kanak antara yang berhimpun di KLCC


PESERTA Bersih 3.0 bukan sahaja tidak mengendahkan saranan pihak berkuasa agar perhimpunan itu diadakan di kawasan lebih sesuai seperti di stadium malah mereka juga membawa kanak-kanak kecil untuk menyertai mereka.

Di Menara Berkembar Petronas, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kanak-kanak Melayu merupakan antara 400 peserta yang turut dibawa berhimpun dan mengedarkan poster anti-Lynas kira-kira pukul 10 pagi.

Kumpulan penyokong perhimpunan haram itu mulai berkumpul di kompleks beli-belah itu kira-kira pukul 9 pagi.

Jejas Aktiviti di KLCC

SUASANA pusat beli-belah Suria KLCC di sini dan kawasan sekitarnya yang selalu sibuk kini bertukar lengang ekoran gangguan yang ditimbulkan oleh peserta perhimpunan Bersih 3.0 di luar pekarangan bangunan Menara Berkembar Petronas itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hanya beberapa pelancong asing yang bersiar-siar di taman KLCC manakala pintu masuk ke Menara Berkembar Petronas dipasang pagar besi sambil dikawal ketat pihak polis dan pengawal keselamatan.

Kegiatan perniagaan di pusat beli-belah KLCC turut terjejas akibat kekurangan pelanggan.

Peserta perhimpunan mula berkumpul di luar pekarangan Menara Berkembar Petronas sejak pukul 8 pagi sambil memegang poster dan sepanduk serta melaungkan slogan anti-Lynas dan Bersih 3.0 sehingga menimbulkan gangguan kepada orang ramai.

Mereka turut berkumpul dan menghalang lalu lintas di persimpangan lampu isyarat Jalan Ampang - Jalan Sultan Ismail - Jalan Yap Kwan Seng - Jalan P. Ramlee sebelum bergerak menuju ke Dataran Merdeka melalui Jalan P. Ramlee pada pukul 11 pagi.

Penyokong Bersih Sembahyang Berasingan

WALAUPUN hanya 50 meter dari kawasan dalam Masjid Negara, para peserta himpunan Bersih memilih untuk mengerjakan solat Zuhur secara berasingan di luar masjid itu.

Malah ada antara mereka yang sanggup mengambil air wuduk di air pancur di luar Masjid Negara dan memilih tidak bersolat bersama jemaah di dalam masjid.

Antara pemimpin pembangkang yang bersama solat di luar Masjid Negara ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Majlis akad nikah di Masjid Negara terjejas

MAJLIS akad nikah sepasang pengantin baru di Masjid Negara di sini hari ini kehilangan serinya apabila terpaksa bersesak dengan peserta perhimpunan Bersih di kawasan mulia itu.

Gara-gara Bersih juga, keluarga pengantin perempuan tersebut terpaksa menangguhkan majlis kenduri di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini yang dirancang pada pukul 12 tengah hari kepada 8 malam.

Menurut bapa kepada pengantin perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Zamani, dia kesal dengan penganjur Bersih yang tetap mahu mengadakan demonstrasi itu namun menganggap semua yang berlaku sebagai dugaan.

''Untuk mengelak kejadian tidak diingini, kami sekeluarga terpaksa sampai ke Masjid Negara seawal pukul 7 pagi tetapi majlis berlangsung lewat sedikit kerana jurunikah menghadapi masalah untuk masuk ke kawasan masjid akibat Bersih,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, majlis itu sudah dirancang sejak tahun lalu lagi dan tempahan telah dbuat pada Januari lalu.

Menurutnya, beliau berharap kerajaan akan mengambil tindakan awal yang lebih tegas kepada mana-mana penganjur demonstrasi pada masa depan agar kehidupan harian rakyat biasa tidak terganggu. - UTUSAN ONLINE/BERNAMA/ BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment