Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA
KUALA LUMPUR, SELASA, 03 April, 2012: Insiden pengeboman di Hatyai, Thailand, Sabtu lalu tidak menghalang perjalanan bas ekspres membawa penumpang dari negara ini ke wilayah bergolak itu.
Tinjauan Utusan Online di Pudu Sentral di ibu negara mendapati empat syarikat bas ekspres menyediakan perkhidmatan ke Hatyai seperti biasa.
Penjaga kaunter tiket Alisan Golden Coach Sdn. Bhd., Krisniwati Mohd. Nor berkata, syarikat tersebut menyediakan empat jadual perjalanan setiap hari iaitu pada 9 pagi dan 10 pagi serta 10 malam dan 11 malam.
"Syarikat memang tidak menghentikan perkhidmatan kerana tahu ada pelanggan yang mahu ke wilayah itu. Sejak insiden pengeboman itu memang bilangan penumpang menurun, tetapi masih ada pelanggan yang ingin ke sana."
Penjaga kaunter tiket Shira Transline Sdn. Bhd., Jamilah Jantan berkata, syarikat berkenaan menyediakan dua jadual perjalanan ke Hatyai setiap hari iaitu pada 10 pagi dan 11 malam.
"Memang bilangan penumpang berkurangan, pelanggan yang naik bas untuk ke Hatyai kebanyakannya rakyat Thailand," jelas beliau.
Sementara itu, seorang penumpang rakyat tempatan, Chong Lin Kit, 28, berkata, beliau pergi ke Hatyai untuk melancong.
"Saya pergi bersama kawan, memang saya selalu ke sana. Saya ada mendengar berita pengeboman itu, tapi saya tidak takut. Saya telah memberitahu keluarga aktiviti melancong ini," kata Lin Kit.
Dalam pada itu, warga Thailand, Maria Prong Lit, 47, menegaskan media memperbesar-besarkan peristiwa pengeboman tersebut.
"Insiden itu kecil sahaja, tidak seperti yang digambarkan oleh surat khabar ataupun televisyen," katanya sambil menegaskan keluarga beliau tidak terbabit dalam peristiwa yang meragut lebih 14 nyawa dan mencederakan lebih 500 orang itu.
Maria, pekerja restoran makanan di ibu negara berkata, beliau pulang ke Hatyai untuk menyambut festival tahun baru masyarakat Thai, Songkran yang akan berlangsung pada 14 April nanti.
Sementara itu, Norhanizan Abdul Hamid yang bertugas sebagai pemandu bas ekspres ke Hatyai berkata, perasaan takut sememangnya wujud apabila mendengar peristiwa pengeboman itu.
"Takut, memanglah takut. Keluarga pun bimbang. Tetapi nak buat macam mana dah kerja kita. Ini peristiwa pengeboman ke-3 sepanjang saya bekerja sebagai pemandu bas ekspress ke Hatyai sejak 1995."
Saksikan laporan video berita ini di http://xtive.utusan.com.my/video.php
No comments:
Post a Comment