My Add

Wednesday 11 April 2012

Jamin tiada tangkapan politik

Oleh Meor Hisham Zulkifli, Nazura Ngah, Zanariah Abd Mutalib dan Nor Fariza Ramlan

Rang undang-undang ganti ISA: Akta baru bertujuan kawal 
keselamatan daripada ancaman pengganas, sabotaj dan pengintipan

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 April, 2012: Kerajaan semalam membentangkan rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang memberi lebih perlindungan dan jaminan tiada seorang pun boleh ditangkap semata-mata atas fahaman dan kegiatan politiknya.

Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat itu bertujuan mengawal keselamatan dan ketenteraman awam daripada sebarang anasir pengganas, sabotaj dan pengintipan.

Berdasarkan rang undang-undang itu, empat kesalahan dikategorikan sebagai kesalahan keselamatan, iaitu menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong, memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta melakukan perubahan selain dengan cara yang sah.

Rang undang-undang yang mempunyai lapan bahagian itu mengandungi fasal berhubung kuasa khas bagi kesalahan keselamatan, tata cara khas peranti pengawasan elektronik, tatacara maklumat sensitif, perbicaraan, tatacara saksi yang dilindungi, keterangan dan pelbagai.

Mengenai tiada tangkapan atas dasar politik, rang undang-undang itu menjelaskan maksud pegangan politik atau kegiatan politik mestilah pembabitan dalam aktiviti yang sah mengikut undang-undang, pernyataan pendapat dan tindakan politik mengikut peraturan parti politik yang berdaftar serta pernyataan pendapat yang ditujukan kepada kerajaan dan pengambilan tindakan yang ditujukan kepada mana-mana kerajaan Persekutuan.

Selain dikehendaki dibicarakan di Mahkamah Tinggi, rang undang-undang itu memperuntukkan bahawa mereka yang disyaki melakukan kesalahan tidak boleh diikat jamin, kecuali yang berumur bawah 18 tahun, perempuan dan sakit atau uzur. 

Bagaimanapun, tindakan melepaskan mereka tertakluk kepada permohonan oleh pendakwa raya supaya peranti pengawasan elektronik dipasangkan pada orang terbabit mengikut Kanun Acara Jenayah.

Ia juga memperuntukkan kuasa khas kepada pegawai polis untuk menahan orang yang dipercayai terbabit dalam kesalahan keselamatan tanpa waran, tetapi alasan penangkapan perlu dimaklumkan seberapa segera.

Undang-undang baru itu juga mencadangkan seseorang boleh ditahan selama 24 jam, tetapi penguasa polis atau lebih tinggi boleh melanjutkan tempoh tahanan selama 28 hari bagi maksud siasatan, berbanding tempoh 60 hari seperti yang diperuntukkan di bawah ISA.

Namun, jika pegawai polis berpendapat tahanan lanjut tidak diperlukan, mereka yang ditahan boleh dilepaskan tetapi suatu peranti pengawasan elektronik boleh dipasang tidak melebihi baki tempoh tahanan selepas mendapat perintah mahkamah. Selain itu, waris mereka yang ditahan perlu dimaklumkan segera dan tahanan dibenarkan segera untuk berunding dengan peguam. 

Rang undang-undang itu juga memberi kebenaran kepada pendakwa raya membenarkan polis memintas sebarang komunikasi sama ada menerusi pos, mesej komunikasi dan mendengar perbualan komunikasi jika mengesyaki ada perlakuan kesalahan keselamatan.

Sementara itu, Nazri turut membentangkan empat lagi rang undang-undang berkaitan bagi meminda Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah, Akta Keterangan 1950 dan Rang Undang-Undang Laut Wilayah 2012.

Pada sidang akhbar selepas itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan bacaan kali kedua di Parlimen pada Isnin ini sebelum dibahaskan. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment