My Add

Wednesday 18 April 2012

Kazakhstan sedia terima pelajar Malaysia

PUTRAJAYA, RABU, 18 April, 20112: Kazakhstan bersedia menerima pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran ke negara itu, kata Presidennya, Nursultan Nazarbayev. 

Beliau berkata, Kazakhstan juga bersetuju untuk terus mengadakan program pertukaran pakar dalam bidang akademik antara kedua-dua negara.

"Kami bersedia menerima pelajar dari Malaysia dan membincangkan perjanjian yang sesuai bagi 2,000 penuntut kami yang sedang belajar di sini," katanya pada sidang media bersama selepas mesyuarat delegasi antara Kazakhstan dan Malaysia di sini, hari ini.

Nazarbayev dalam rangka lawatan dua hari bermula semalam dan ia adalah lawatan negara ketiga beliau ke Malaysia dalam tempoh 16 tahun (selepas 1996 dan 2006), yang mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara. 

Pada mesyuarat hari ini, kedua-dua negara bersetuju menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan. 

Malaysia diwakili Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, manakala Kazakhstan oleh Menteri Pendidikan dan Sains, Bakhytzhan Zhumagulov. 

Nazarbayev berkata, beliau yakin kedua-dua negara akan menikmati masa depan lebih cerah dalam bidang pendidikan serta bidang lain seperti sumber mineral dan pelancongan. 

Dua lagi MoU, iaitu mengenai pembangunan sumber mineral dan pelancongan, turut ditandatangani kedua-dua negara. 

Bagi pemeteraian MoU pembangunan sumber mineral, Malaysia diwakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, manakala Kazakhstan oleh Menteri Industri dan Teknologi Baru, Asset Issekeshev. 

MoU pelancongan pula ditandantangani Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, manakala Kazakhstan diwakili Issekeshev. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment