My Add

Thursday 5 April 2012

Kem PLKN Terkok ditutup susulan kematian pelatih

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 05 April, 2012: Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Terkok di Sungai Siput, Perak ditutup operasinya susulan kematian seorang pelatih pada 12 Mac lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua jenis latihan air di semua kem PLKN di seluruh negara turut dihentikan serta-merta. "Kita tidak berkrompomi dan sedaya upaya melaksanakan program bersandarkan 'Standard Operating Procedure' (SOP) serta kita akan pastikan jika wujud sebarang permasalahan di mana-mana kem PLKN, tindakan tegas akan ditentukan.

"Justeru saya ambil keputusan bukan sahaja menghentikan latihan-latihan pengairan malah kem PLKN Terkok ditutup dan tidak mengambil peserta untuk pengambilan kali akan datang," katanya menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat, di sini hari ini. 

Fong ingin tahu tindakan kementerian terhadap kes tersebut dan sama ada akan akan menangguhkan PLKN untuk meneliti dan mengkaji pelaksanaannya. 

Ahmad Zahid berkata, kematian R Vinoth, 18, itu bukan disebabkan oleh kencing tikus dan perkara tersebut disahkan selepas pemeriksaan makmal dan juga Jabatan Kesihatan Perak, mendapati air kolam di kem itu bebas bakteria Leptospira. 

Namun, katanya, tindakan menutup kem Terkok dan menghentikan latihan air adalah bagi menjaga keberkesanan PLKN dan bagi memastikan tidak akan berlaku masalah kesihatan disebabkan oleh kelemahan pentadbiran dan kebersihan.
"Diingatkan, kami tidak akan berkompromi sama ada dengan komandan, jurulatih atau pihak yang menjadi operator mana-mana kem berkenaan sekiranya mereka melanggar SOP," katanya. 

Beliau menyifatkan cadangan untuk menangguhkan atau menghentikan terus PLKN hanya kerana berlaku beberapa kematian, adalah sebagai langkah ke belakang. 

"Seramai 629,052 pelatih PLKN direkodkan sehingga 29 Februari lalu dan 19 pelatih meninggal dunia atas faktor lain-lain yang bukan kecuaian kem," katanya sambil menambah sebanyak RM4.36 bilion sudah dibelanjakan untuk PLKN sejak dilaksanakan. 

Terdahulu, ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu), Ahmad Zahid berkata setakat ini seramai 33,591 bekas pelatih sudah mendaftar sebagai anggota Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan jumlah dijangka terus bertambah dengan adanya kemudahan pendaftaran dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). 

Beliau berkata, penubuhan BSKN tidak terbatas kepada remaja yang menjalani latihan PLKN sahaja tetapi juga mencakupi bekas pelatih PLKN yang telah dewasa yang masih mahu menyumbang khidmat bakti secara sukarela. 

Katanya, anggota BSKN boleh digembleng bagi membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pelbagai kejadian malapetaka atau bencana alam seperti banjir, tanah runtuh atau kebakaran. 

"Kerajaan akan terus berusaha membina generasi muda bersemangat patriotisme tinggi di negara ini dan dengan adanya sikap kesukarelawan dan saling bantu membantu, ia sudah tentu akan memantapkan persefahaman dan perpaduan antara kaum," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment