My Add

Thursday 5 April 2012

Tekankan pendekatan terbaik untuk rakyat: Sultan Pahang

KUANTAN, KHAMIS, 05 April, 2012: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menyeru seluruh jabatan kerajaan supaya menekankan pendekatan terbaik ketika berurusan dengan rakyat yang menjadi pelanggan mereka. 

Baginda bertitah apa saja urusan yang membabitkan rakyat hendaklah sentiasa dilaksanakan dengan pendekatan mesra pelanggan dan perkhidmatan itu hendaklah sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

 "Sekiranya perkhidmatan anggota perkhidmatan awam sama saja seperti sebelumnya tanpa ada penambahbaikan, tidak mustahil suatu hari nanti pihak atau organisasi lain akan mengambil alih peranan kita hari ini kerana kita tidak relevan lagi," titah baginda ketika berucap di majlis santapan bersama anggota perkhidmatan awam negeri Pahang di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Sultan Ahmad Shah mahu setiap anggota perkhidmatan awam melakukan transformasi supaya dapat menjiwai peranan mereka dengan lebih cemerlang menuju Wawasan 2020. 

Untuk itu titah baginda, perhubungan yang baik di antara anggota perkhidmatan awam dan anggota pentadbiran politik perlu diwujudkan agar matlamat memajukan negara dapat dicapai kerana melalui persefahaman kedua-dua pihak berkenaan, banyak program negara dapat dilaksanakan. 

Baginda bertitah, setiap tugas yang dilaksanakan oleh anggota perkhidmatan awam tidak perlu dipolitikkan kerana ia akan menyusahkan rakyat serta melambatkan perancangan kerajaan. 

Selain itu titah baginda setiap anggota perkhidmatan awam perlu komited dan mendokong aspirasi kerajaan pada hari ini selain meningkatkan disiplin diri supaya dapat memberi perkhidmatan lebih cekap dan berkesan kepada rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment