My Add

Sunday 15 April 2012

Kerajaan Pusat buat janji yang mampu ditunaikan: Mustapa

KOTA BHARU, AHAD, 15 April, 2012: Pendekatan yang digunakan kerajaan pusat dalam menunaikan janji untuk meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga barang, bukan sahaja berhasil tetapi juga tidak menyebabkan negara muflis. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata rakyat dapat merasai sendiri hasil pendekatan yang dilaksanakan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan pelbagai lagi.

Ini berbeza dengan janji pembangkang, yang mana bukan saja mustahil untuk dilaksana tetapi juga akan memufliskan negara jika tetap dilakukan, katanya pada Majlis Mesra Rakyat dan Perasmian Coop Mart di Wisma Persekutuan, di sini hari ini.

Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Kelantan, berkata kesan kenaikan harga barangan dirasai oleh penduduk di seluruh dunia, namun inisiatif segera kerajaan Malaysia dapat meringankan bebanan rakyat di negara ini. 

Katanya pembangkang hanya sekadar menabur janji untuk meraih sokongan rakyat kononnya akan menghapuskan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menurunkan harga minyak dan menghapuskan tol. 

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mustapa berkata, kewujudan Coop Mart yang menawarkan lebih 50 jenis barangan keperluan dengan harga sehingga 40 peratus lebih rendah berbanding premis lain, membantu meringankan beban perbelanjaan penjawat awam yang bertugas di Wisma Persekutuan itu. 

Beliau berkata, orang ramai yang datang berurusan di Wisma Persekutuan itu juga dapat membeli barangan di Coop Mart terbabit. 

Coop Mart yang menyertai program Transformasi Kedai Runcit (Tukar), dimiliki Koperasi Pegawai dan Kakitangan Wisma Persekutuan Negeri Kelantan Berhad. - BERNAMA 


No comments:

Post a Comment