My Add

Thursday 5 April 2012

Kerajaan tidak akan tutup SJKC, SJKT: Muhyiddin

ALOR SETAR, KHAMIS, 0 April, 2012: Kerajaan tidak pernah bercadang untuk menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) walaupun ia kekurangan pelajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata, sistem SJKC dan SJKT tidak boleh dinafikan oleh sesiapa kerana penubuhannya adalah untuk memenuhi keperluan sebahagian besar rakyat negara ini berketurunan Cina dan Tamil.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, tiada sebarang akta yang membolehkan menteri berkenaan menutup sekolah-sekolah tersebut.

"Hanya di Malaysia kita sediakan peluang pendidikan untuk melayan kaum-kaum utama," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan warga SJKC dan SJKT di SMK Keat Hwa II, dekat sini hari ini. 

Beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan SJKC dan SJKT sebaliknya sentiasa memastikan sistem pelajaran di sekolah-sekolah berkenaan berada pada tahap yang baik dan setanding dengan sekolah kebangsaan. 

"Jangan terpengaruh dengan dakwaan bahawa sekolah ini tidak diberi perhatian. Anak tiri, bersikap tidak adil, itu bukanlah dasar Barisan Nasional (BN) yang adil kepada semua pihak," kata Muhyiddin. 

Muhyiddin berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM2.89 bilion setiap tahun untuk belanja mengurus lebih 1,200 SJKC, manakala RM1.04 bilion untuk SJKT. 

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan waran peruntukan pembangunan bernilai RM14.42 juta kepada 89 SJKC dan 58 SJKT di negeri ini dan peruntukan khas sebanyak RM500,000 kepada SMK Keat Hwa II. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment