My Add

Thursday 5 April 2012

Kerajaan sedia pertimbang lesen bot kelas A: TPM

ALOR SETAR, KHAMIS, 05 April, 2012: Kerajaan sedia mempertimbangkan permintaan nelayan supaya mengeluarkan semula lesen bot laut dalam Kelas A yang dibekukan kira-kira tujuh tahun lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata, ini kerana kerajaan menghargai sumbangan nelayan kepada pembangunan negara dan mahu melihat industri perikanan berkembang dan maju. 

"Kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada golongan nelayan supaya bekalan ikan negara mencukupi dan kehidupan mereka terjamin," katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan dengan nelayan Kedah di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Kedah dekat sini hari ini.

Kira-kira 2,000 nelayan hadir pada majlis itu. 

Sebelum itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kedah (NEKAD), Ahmad Rudin Hussin, dalam ucapannya memohon kerajaan mempertimbangkan permohonan persatuan itu untuk mendapatkan 600 lesen kelas A yang tertangguh sejak kerajaan membekukannya tujuh tahun lalu. 

Lesen kelas A ialah untuk bot laut dalam melebihi lima batu nautika dari pantai manakala zon-zon diwujudkan bagi melindungi kepentingan nelayan berkenaan. 

Kini terdapat kira-kira 800 bot laut dalam beroperasi di Kedah. 
Timbalan Perdana Menteri juga memberikan jaminan bahawa dasar Kerajaan Pusat yang ditadbir Barisan Nasional (BN) yang memberikan pelbagai bantuan kepada nelayan termasuk subsidi dan elaun sara hidup, akan diteruskan. 

Katanya, kerajaan membelanjakan sebanyak RM10 juta setahun untuk membayar elaun sara hidup kepada kira-kira 9,600 nelayan di Kedah. 

Mengenai desakan NEKAD supaya tindakan diambil terhadap bot besar yang menceroboh kawasan nelayan pantai, beliau berkata tindakan akan diambil tetapi mereka tidak boleh salahkan kerajaan selepas itu kerana yang melakukan kesalahan itu adalah nelayan juga. 

Berhubung permintaan NEKAD supaya kerajaan menghapuskan pinjaman nelayan yang menjadi mangsa tsunami berjumlah RM2 juta, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengkaji permintaan itu. 

Pada majlis itu, Muhyiddin juga mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membina dewan nelayan di kawasan Kompleks LKIM. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom; Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Kuala Kedah, Datuk Latt Shariman Abdullah; dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad BAshah Md Hanipah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment