My Add

Thursday 5 April 2012

KPDNKK Pulau Pinang rampas DVD haram RM200,000

BUKIT MERTAJAM, KHAMIS, 05 April, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas 26,900 keping cakera video digital (DVD) bernilai RM200,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di kawasan Bukit Tengah di sini, hari ini. 

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, M Guna Selan, berkata hasil maklumat awam dan risikan sejak tiga minggu lalu, sepasukan tujuh anggota penguat kuasa menyerbu premis berkenaan pada jam 10 pagi ini.

 "Ketika serbuan, tiada sesiapa di premis tidak berkunci itu dan kita percaya sindiket terbabit menjadikan bangunan dua tingkat berkenaan sebagai stor untuk menghasilkan serta menyimpan DVD cetak rompak," katanya di tempat kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas dua unit mesin penyalin dan pelbagai jenis poster untuk dilekatkan pada DVD yang siap disalin. 

Guna Selan berkata, semua DVD cetak rompak itu dipercayai untuk diedar di sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak. 

"Kita percaya sindiket DVD haram berkenaan menjalankan aktiviti mereka secara berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi di premis berkenaan sejak enam bulan lalu dan pihaknya kini sedang mengesan pemilik premis dan ahli sindiket berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap satu salinan, dan minimum RM2,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment