My Add

Thursday 5 April 2012

Laluan khas elak haiwan liar ceroboh lebuh raya

TEMERLOH, KHAMIS, 05 April, 2012: Lebih banyak laluan dan lintasan bagi haiwan liar akan dibina di seluruh negara bagi mengelak binatang seperti gajah, harimau, beruang dan rusa daripada menceroboh jalan, lebuh raya atau kawasan kampung. 

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (PERHILITAN), Datuk Abdul Rasid Samsudin, berkata lebih 10 kawasan berisiko seperti yang berdekatan lebuh raya, kawasan kampung dan ladang, dikenal pasti setakat ini bagi pembinaan laluan dan lintasan berkenaan.

 "Dengan pembinaan laluan seumpama itu ia bukan saja dapat mengelakkan haiwan itu berpecah daripada kumpulannya, ia secara tidak langsung dapat mengelakkan ianya diburu manusia atau dilanggar kenderaan semasa ia melintas lebuh raya atau jalan.

"Haiwan terbabit perlu dilindungi kerana ia adalah aset negara," katanya selepas melancarkan pertandingan Anugerah Hijau 2012 di Institut Biodiversiti Bukit Rengit, Lanchang, hari ini. 

Setakat ini satu laluan lintasan haiwan liar siap dibina di Kuala Berang, Terengganu manakala laluan di Sungai Yu, Jerantut, sedang dalam pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi. Laluan lintasan Gerik di Perak ke Hutan Belum pula dibina tidak lama lagi. 

"Laluan lintasan itu akan memudahkan haiwan dilindungi itu berpindah ke kawasan habitat masing-masing," katanya. 

Abdul Rasid berkata, semua pihak termasuk orang ramai harus memulihara dan menjaga semua haiwan yang dilindungi itu daripada pupus.
Beliau berkata, PERHILITAN juga berusaha untuk menangkap dan memindahkan gajah gajah liar yang menceroboh ladang serta yang merosakkan tanaman penduduk. 

Seramai 200 petugas Perhilitan di seluruh Semenanjung termasuk dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Lanchang akan menangkap gajah liar serta memindahkannya ke Taman Negara jika haiwan itu mengganas sehingga mengancam keselamatan penduduk. 

Masih terdapat kira-kira 1,200 ekor gajah di seluruh negara di mana 400 hingga 500 daripadanya sudah ditangkap dan dipindahkan ke hutan Taman Negara di Terengganu serta Rompin, Pahang, dan di hutan Belum di Perak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment