My Add

Tuesday 3 April 2012

Laporan PSC sentuh agihan 34% kerusi Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU, SELASA, 03 April, 2012: Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya yang dibentangkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, di Parlimen hari ini turut mengambil kira cadangan pengagihan kerusi Dewan Rakyat bagi negeri Sabah dan Sarawak. 

Ongkili berkata, jawatankuasa mengambil maklum cadangan supaya jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat diseimbangkan di antara kerusi bagi Semenanjung dengan kerusi negeri Sabah dan Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam dokumen "Jawatankuasa Antara Kerajaan" (IGC) semasa penubuhan Malaysia.

Katanya, dokumen itu menyentuh peruntukan bahawa Sabah, Sarawak dan Singapura memperoleh 34 peratus daripada kerusi di Dewan Rakyat penggal tersebut.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan memastikan kuasa seimbang boleh digunakan oleh mana-mana wakil Sabah dan Sarawak bagi memastikan suara dan kepentingan yang membabitkan kedua-dua negeri ini dalam semua hal yang berkaitan undang-undang dapat dipertahankan. 

"Dalam hal ini, jawatankuasa mengesyorkan agar satu kajian terperinci dibuat berhubung perkara itu untuk dilaksanakan dengan mengambil kira prinsip pembentukan Malaysia," katanya ketika membentangkan laporan itu. 

Ongkili berkata, jawatankuasa turut menyusuli syor supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan kemudahan kepada pengundi yang berada di luar kawasan pendaftarannya terutama dari Sabah dan Sarawak serta pengundi dari Semenanjung yang bertugas di Sabah dan Sarawak untuk mengundi di mana-mana tempat tanpa perlu pulang ke kawasan pendaftaran asalnya. 

Mengenai cadangan untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai umur 21 tahun, beliau berkata walaupun cadangan itu mempunyai asas yang baik namun ia hanya boleh dilaksanakan dalam jangka masa panjang memandangkan usaha pembersihan daftar pemilih secara keseluruhan perlu diutamakan.

"Siasatan lanjut mengenai daftar pemilih yang diragui seperti yang dibangkitkan di negeri Sabah serta syor berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu dilaksanakan bagi memastikan matlamat daftar pemilih yang diyakini oleh semua pihak," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment