TAWAU, AHAD, 22 April, 2012: Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) akan menyerahkan semula senarai calonnya untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi seperti dikehendaki pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), kata Presidennya, Datuk V.K Liew.
Beliau berkata, sebelum ini parti itu sudahpun menyerahkan senarai 20 nama kepada pucuk pimpinan BN namun atas arahan terbaru Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, akan menghantar semula kepada pucuk pimpinan senarai nama calon itu.
"Kita akan lihat sama ada perlu untuk mengubah nama yang telah dikemukakan sebelum ini atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bilik gerakan LDP bagi menghadapi PRU-13 di sini hari ini.
Liew berkata, senarai yang bakal diserahkan itu merupakan calon yang diyakini LDP bukan sahaja boleh menang tetapi juga yang berkeupayaan mendepani isu rakyat setempat, negeri dan negara.
Ditanya sama ada LDP bersedia bertukar kerusi dengan parti-parti komponen BN lain, beliau berkata pada masa ini perkara tersebut belum timbul dan LDP masih dengan kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum 2008. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment