SEBAHAGIAN siswa dan ahli NGO menghadiri perhimpunan menolak LGBT di UPM, Serdang, semalam.Bantahan aman turut kecam tindakan desak pemansuhan PTPTN
Oleh Syed Azwan Syed Ali
SERDANG, SABTU, 21 Aprul, 2012: Lebih 3,000, termasuk siswa dari lapan institusi pengajian tinggi (IPT) di Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan perhimpunan aman menolak amalan seks bebas dan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) menular di negara ini.
Bantahan itu diterajui Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang disertai 18 badan bukan kerajaan (NGO) antaranya, Waris Malaya, Aman Kampus, Alumni Aspirasi, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Anti Penyelewengan Selangor, Majlis Permuafakatan Ayahanda Malaysia, Persatuan Veteran Tentera Melayu, Persatuan Orang Muda Bantah Anti Korupsi dan Alam Warisan.
Mereka berkumpul seawal dua petang sebelum bantahan aman itu bermula sejam kemudian dengan setiap wakil NGO diberikan peluang berucap secara teratur.
Peserta perhimpunan itu turut mengecam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Peguam yang didakwa menyokong gerakan LGBT atas alasan hak asasi manusia.
Terdapat sekumpulan penyokong bertindak mengoyak, memijak dan membakar poster pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga, yang turut didakwa menyokong gerakan itu.
Mereka turut menggantung sepanduk anti-seks bebas dan LGBT antaranya, ‘tolak seks bebas: tolak pemimpin biseksual’, ‘majlis peguam hilang akal’ dan ‘undi ambiga, undi seks bebas’.
Perhimpunan itu juga mengutuk tindakan mahasiswa berkhemah di Dataran Merdeka untuk mendesak pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disifatkan menjadi alat politik pembangkang.
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah ketika berucap mendakwa wujudnya gerakan LGBT terancang di negara ini selain mendakwa ada pertubuhan dalam negara menerima dana asing untuk menganjurkan program mempromosikan golongan itu.
Katanya, beliau sebelum ini mendedahkan pertubuhan antarabangsa ILGA memfailkan petisyen di mahkamah untuk menuntut perkahwinan sejenis dibenarkan di Malaysia atas nama hak asasi. - BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment