My Add

Thursday 12 April 2012

Lima terkorban susulan gempa bumi di Aceh

PENGAWAL keselamatan memeriksa kerosakan sebuah bangunan sehari selepas gempa bumi kuat menggegarkan Banda Aceh semalam. - Foto AFP


                            Gempa bumi 5.3 skala Richter sekali lagi 

JAKARTA, KHAMIS, 12 April, 2012: Gempa bumi kuat berukuran 8.5 skala Richter pada petang Rabu yang diikuti beberapa gegaran susulan mengakibatkan lima meninggal dunia, seorang kanak-kanak parah dan enam cedera ringan setakat ini.

Kebanyakan mereka yang meninggal dunia adalah disebabkan serangan jantung kerana terkejut dengan kejadian itu, kata Ketua Pusat Data dan Maklumat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho, di sini pada Khamis.

Kanak-kanak yang cedera parah kerana ditimpa pokok di Aceh Singkil itu kini berada dalam keadaan kritikal, namun pihak berkuasa belum mengeluarkan data mengenai jantina kanak-kanak tersebut.

Mangsa yang cedera ringan pula terdiri daripada empat orang dari Simeuleu dan dua dari Aceh Singkil.

BNPB masih mengumpulkan data mengenai jumlah mangsa dan kerosakan harta benda dalam kejadian tersebut.

Sebahagian besar penduduk Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Bengkulu dilapor telah kembali menjalankan aktiviti seperti biasa.


Sementara itu selepas digegarkan gempa kuat berukuran 8.5 pada skala Richter petang semalam dan sejumlah gempa susulan sehingga malam tadi, Aceh terus dilanda gempa tektonik berkekuatan 5.3 pada skala Richter pagi ini.

Kejadian berlaku di 442 km ke barat daya bandar Sabang, Aceh pada pukul 7.29 pagi, dengan kedalaman gempa 124 km.

Ketua Stesen Geofisika Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Kepahaing, Bengkulu, Dadang Permana berkata, sehingga kini sejumlah 25 gempa susulan berkekuatan lebih 5 pada skala Richter berlaku sejak kejadian gempa bumi kuat petang semalam.

Gempa susulan terkuat pada Rabu berlaku pada pukul 5.45 petang atau dua jam selepas gempa pertama, dengan kekuatan 8.3 skala Richter, yang juga berpotensi menimbulkan tsunami.

Gempa kuat yang menggegar Simeulue itu dikhuatirkan akan mencetus gempa lain yang diakibatkan oleh gesekan lempeng Indo-Australia yang terdapat di sepanjang perairan Barat Sumatera, dan penduduk di pesisir pantai telah diminta berwaspada terhadap kemungkinan itu.

Kawasan pesisir pantai itu membabitkan provinsi Aceh, Sumatra Utara, Sumatra Barat, Bengkulu dan Lampung. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment