KUANTAN, SELASA, 03 April, 2012: Lynas Corporation Ltd berhasrat memberi taklimat kepada anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung operasinya yang didakwa mematuhi semua peraturan tempatan dan piawaian antarabangsa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Corporation Ltd, Eric Noyrez, berkata adalah penting syarikat itu memberi semua butiran kepada PSC bagi mengetepikan maklumat mengelirukan berhubung Loji Bahan-Bahan Maju Lynas (LAMP) yang akan siap dan sedia beroperasi dalam tempoh tiga minggu.
"Kami tidak mempunyai niat untuk membuang sisa kerana melihatnya mempunyai nilai dan sudah membangunkan teknologi untuk menjadikan ia barang yang boleh dijual.
"Kami tidak mempunyai niat untuk membuang sisa kerana melihatnya mempunyai nilai dan sudah membangunkan teknologi untuk menjadikan ia barang yang boleh dijual.
"Semua ini dilakukan pada skala percubaan dan makmal, menggunakan antara 100 dan 200 tan bahan mentah," katanya kepada media pada sesi taklimat dan lawatan ke tapak LAMP di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif Lynas Corp (Manusia dan Budaya), Glenn Barr; Pengarah Urusan Lynas Malaysia Sdn Bhd, Datuk Mashal Ahmad; Pengurus Besar Lojinya, Khairul Salleh; dan Penasihat Keselamatan Radiologi, Profesor Dr Ismail Bahari.
Pada sesi itu, Noyrez turut menunjukkan bacaan radioaktif garam halus dan gas mentol pijar yang menyaksikan tahap keradioaktifan lebih tinggi berbanding tiga sisa yang terhasil ketika pemprosesan nadir bumi.
Beliau berkata, sisa itu akan dijadikan produk berdaya maju daripada segi ekonomi seperti papan plaster, baja serta bahan asas tegar bagi pembinaan jalan raya, sekali gus akan menjadikan isu tapak pelupusan kekal tidak relevan.
Noyrez berkata, adalah penting bagi LAMP memulakan operasi kerana ini akan membuktikan ia adalah selamat dan tidak mengancam kehidupan manusia dan alam sekitar.
Bulan lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul menubuhkan PSC bagi LAMP untuk melihat standard keselamatan projek itu selain isu lain yang menarik perhatian awam.
Mashal berkata, syarikat itu berharap Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dapat mengeluarkan lesen operasi sementara (TOL) yang diluluskan pada 31 Januari secepat mungkin kerana ia akan mengambil masa sebulan untuk menghantar bahan mentah dari Australia.
Mengenai dakwaan bahawa Malaysia akan berdepan bencana nadir bumi seperti China, Noyrez berkata pendekatan yang diambil Lynas Corp adalah berbeza kerana ia sudah melaburkan jumlah yang besar serta menggunakan teknologi terbaik bagi memastikan semua jenis sisa boleh dikitar semula atau dirawat sebelum dilepaskan.
Beliau berkata, penangguhan lanjut terhadap operasi loji itu tidak hanya akan menjejaskan Lynas Corp malah pembekal tempatan dan aktiviti hiliran termasuk syarikat pengeluar produk hijau seperti mentol jimat tenaga serta kereta hibrid. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment