My Add

Friday 20 April 2012

Majlis Media Malaysia diharap atasi isu kebebasan media

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 April, 2012: Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin berharap Majlis Media Malaysia yang bakal ditubuhkan dapat mengekang masalah kebebasan media dan gangguan yang dihadapi wartawan dan penerbit akhbar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

Beliau berkata, majlis itu diharap mampu mengendalikan tindakan undang-undang yang bersifat kepentingan politik dan bukannya kerana kepentingan rakyat.

Menurut BERNAMA, bekas Menteri Penerangan itu mendakwa, korporat besar, gergasi perniagaan dan perusahaan atau pengiklan merupakan “tangan yang tersembunyi” yang menyekat akhbar daripada menyiarkan berita yang boleh memburukkan imej atau kepentingan perniagaan mereka.

“Dengan perkembangan komersialisme yang semakin rancak, maka bahaya ini akan menjadi bertambah besar.

"Mungkin suatu masa nanti, gergasi perniagaan dan perusahaan besar akan menguasai akhbar dan bukannya kerajaan atau rakyat tertindas kerana kelemahan, ketidakjujuran atau kelalaian kuasa-kuasa perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Zainuddin, yang juga bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, mengulas mengenai pindaan kepada Akta Cetak dan Penerbitan 1984, yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, yang antara lain bertujuan menggugurkan “kuasa mutlak” menteri dalam meluluskan atau tidak meluluskan lesen mesin cetak.

Semalam, Zainuddin memuji transformasi kerajaan untuk menggugurkan kuasa menteri, namun, aspek penglibatan syarikat pengiklan perlu diberi perhatian kerana entiti berkenaan sering kali mengunci kebebasan akhbar.

"Saya melihat pihak tertentu terlupa dalam aspek ini. Gergasi perniagaan dan syarikat pengiklan ini adalah tangan tersembunyi yang sering mengikat media daripada menyiarkan berita yang boleh memburukkan imej atau merosakkan kepentingan perniagaan yang merupakan kesilapan mereka sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment