My Add

Friday 20 April 2012

Pindaan Akta Mesin Cetak gugur `kuasa mutlak' menteri lulus

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 April, 2012: Dewan Rakyat awal hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012, bertujuan menggugurkan "kuasa mutlak" menteri dalam meluluskan atau tidak meluluskan lesen mesin cetak.

Pindaan yang dibentangkan semalam itu antara lain meminda Subseksyen 3(3) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 2007 bagi memansuhkan keperluan merujuk kepada "budi bicara penuh" menteri dalam memberi atau menolak pemberian lesen mesin cetak.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop, ketika menggulung perbahasan pindaan itu, berkata pindaan terbabit penting bagi mengukuhkan usaha menjaga sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

"Kerajaan amalkan dasar terbuka, liberal dan bertanggungjawab dalam menjamin kebebasan akhbar sebuah masyarakat majmuk bagi menuju ke arah laporan berita bercorak positif dan menjana minda masyarakat.

"Perkara sensitif seperti ini perlu ada had kebebasan. Akta ini juga bagi memelihara keselamatan, menjaga kepentingan awam dan negara juga bagi imbangi keperluan, keadaan semasa dan hak masyarakat," katanya.

Sewaktu perbahasan, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mempersoal tindakan pembangkang yang mengangkat diri mereka sendiri sebagai "juara' kebebasan media sedangkan pihak mereka menghalang organisasi media seperti Utusan Malaysia dan TV3 membuat liputan.

"Siapa yang menghalang Utusan Malaysia daripada membuat liputan DUN (Dewan Undangan Negeri) Pulau Pinang, siapa yang menghalang TV3 buat liputan bila dia tak senang dengan soalan diajukan atau mengkritik dirinya.

"Kita tidak hipokrit, tidak halang media buat liputan. Pindaan ini langkah progresif dalam membawa media kita ke tahap lebih tinggi," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia pada September tahun lalu, mengumumkan kerajaan akan membuat semakan semula terhadap akta itu yang berusia 28 tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment