My Add

Thursday 12 April 2012

MAS pantau situasi destinasi di Lingkaran Lautan Hindi

KUALA LUMPUR, RABU, 11 April, 2012 : Malaysia Airlines (MAS) memantau dengan teliti operasi penerbangan destinasi antarabangsa di sekitar Lingkaran Lautan Hindi berikutan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia sehingga menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami. 

Menurut BERNAMA, pihak berkuasa lapangan terbang di Phuket, Thailand mengumumkan penutupan lapangan terbang di bandar itu selepas amaran tsunami dikeluarkan dan MAS membatalkan penerbangan MH790 yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang ke Phuket pada jam 1710 hari ini.

"Terdahulu, penerbangan MH786 beroperasi pagi ini dan tiba Phuket serta kembali ke KLIA seperti biasa," menurut kenyataan MAS di sini, hari ini.

Operasi penerbangan anak syarikat MAS, Firefly juga seperti dijadualkan dan penerbangan harian FY3604 dari Pulau Pinang ke Phuket serta penerbangan balik FY3605 sebelum operasi lapangan terbang Phuket ditutup sementara. 

Penerbangan harian MAS ke destinasi lain di Lingkaran Lautan Hindi adalah ke Colombo (MH179), Chennai (MH180) dan Maldives (MH177). 

Ketika ini semua penerbangan berkenaan beroperasi seperti dijadualkan hari ini. 

Penumpang dinasihatkan menyemak status terkini penerbangan mereka dengan Malaysia Airlines di Pusat Panggilan yang beroperasi 24 jam (1300 88 3000 dari dalam Malaysia dan +603 7843 3000 bagi panggilan dari luar Malaysia) serta menerusi laman sesawang http://www.malaysiaairlines.com/my/en/book-and-plan/flight-status.html. 

Lapangan Terbang Simeulue di Aceh masih ditutup
   
Menurut lapran Jakarta Post,  Lapangan Terbang Simeulue di wilayah Aceh masih ditutup berikutan gempa kuat 8.9 magnitud melanda perairan barat wilayah itu, petang tadi. 

Pegawai Pusat Bencana Negara (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, berkata pasukan penyelamat agensi itu serta wakil institusi lain tidak dapat mendarat di wilayah itu berikutan penutupan lapangan terbang berkenaan.

“Ketua BNPB, Samsul Arif melaporkan pasukan mereka terpaksa mendarat di lapangan terbang berhampiran," kata Sutopo sambil menambah agensi itu juga tidak menerima maklumat berkaitan gempa berikutan terputus bekalan elektrik dan komunikasi di Aceh.

“Setakat ini kita tidak dapat sebarang maklumat termasuk mereka yang cedera dan kerosakan yang berlaku akibat gempa. Bekalan elektrik sudah terputus dan isyarat telefon terjejas," katanya. 

Beliau berkata, pasukan penyelamt sudah dikerah ke Aceh, Sumatera Barat dan Bengkulu.  

No comments:

Post a Comment