My Add

Thursday 12 April 2012

Ku Li akui ketokohan Mustapa terajui UMNO Kelantan

KOTA BHARU, RABU, 11 April, 2012: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengakui ketokohan Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam menerajui UMNO Kelantan yang dilihat sudah berjaya mengembalikan sokongan besar rakyat negeri itu terhadap UMNO. 

Beliau berkata, Mustapa begitu komited dalam usahanya memenangi hati rakyat Kelantan untuk kembali menyokong perjuangan UMNO.

"Saya lihat dia (Mustapa) bagus bekerja tetapi ini kerja berpasukan...semua kena bekerjasama.

"Pilihan raya kali ini adalah sangat sengit dan peluang UMNO Kelantan itu tetap ada," katanya selepas mengadakan Majlis Penerangan dan Pelancaran Majlis Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) peringkat Kelantan di sini, malam tadi. 

Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen paling lama di negara ini iaitu selama 43 tahun menafikan laporan yang menyebut beliau akan bertanding sebagai calon Bebas jika tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional pada pilihan raya umum nanti. 

"Jangan tanya kesetiaan saya pada parti. Saya telah lebih 50 tahun dalam UMNO. Laporan itu tidak betul dan tanyalah pada orang yang buat laporan itu. Kalau di Gua Musang peluang BN sangat cerah untuk menang," katanya. 

Ketika sesi dialog, Tengku Razaleigh meminta semua pihak menghormati dirinya yang terus bersama UMNO walaupun didesak oleh banyak pihak agar beliau keluar daripada parti itu.

Sambil itu Tengku Razaleigh meminta semua pihak supaya tidak mempertikaikan kesetiaan beliau kepada UMNO.

Sehubungan itu beliau menegaskan, tidak pernah membuat kenyataan akan bertanding atas tiket bebas jika tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya tak kata pun, pemberita Astro Awani yang buat cerita itu, saya tak buat kenyataan itu," katanya.

 Tengku Razalegh menjelaskan, beliau menghormati tindakan beberapa pemimpin UMNO di Gua Musang yang dilaporkan menentang kepimpinannya atas semangat demokrasi. - UTUSAN.



...

No comments:

Post a Comment