My Add

Wednesday 4 April 2012

Mekanik didakwa cuba guna dokumen pengenalan palsu

KUALA LUMPUR, RABU, 04 April, 2012: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan cuba menipu seorang petugas kaunter dengan menggunakan dokumen pengenalan sementara palsu untuk menuntut kad sim telefon bimbit di Maxis Centre Garden Mid Valley, di sini. 

Loo San, 22, dikatakan cuba menipu Muhammad Saiful Amri Mohamad, 27, yang bekerja di kaunter perkhidmatan di Maxis, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dokumen pengenalan yang digunakan adalah tulen semasa menuntut kad sim itu, jam 10 malam 14 Mac lalu.

Tertuduh yang ditangkap pada 5 Mac didakwa mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

Loo turut mengaku tidak bersalah menggunakan dokumen pengenalan sementara yang palsu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 465 kanun sama, jika disabit kesalahan. 

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Mei untuk sebutan kes. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Loh Wei Dhin manakala tertuduh diwakili peguam M V Stanislaus. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment