Tidak wajar pertikai kadar gaji minimum
Oleh Magendran Rajagopal
PUTRAJAYA, KHAMIS, 05 April, 2012: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, membidas Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kerana terus mempertikaikan kadar gaji minimum walaupun mereka bersetuju mengenainya ketika keputusan dibuat sebelum ini.
Katanya, MEF dan MTUC masing-masing mempunyai enam wakil dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan tahu segala perbincangan diadakan, selain bersetuju dengan kadar gaji minimum serta kaedah pelaksanaannya.
Beliau berkata, Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan dan Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan yang masih mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan bersama dalam MPGN turut berada dalam MPGN.
“Mereka tahu secara terperinci apa yang diputuskan dalam MPGN dan saya harap sebagai wakil pekerja dan majikan bertanggungjawab, mereka memberi gambaran sebenar mengenai isu gaji minimum kepada ahli pertubuhan masing-masing.
“Saya akui adalah mustahil untuk memuaskan hati setiap orang tetapi kita memilih jalan tengah yang terbaik dan boleh diterima semua pihak. Tambahan pula, gaji minimum yang diputuskan ini akan disemak semula setiap dua tahun.
“Justeru, jangan memperlekehkan keputusan MPGN semata-mata untuk menjaga hati anggota MEF atau MTUC, sebaliknya hormati keputusan bersama demi kepentingan semua pihak,” katanya ditemui Berita Harian, di pejabatnya, hari ini..
Sebelum ini, akhbar melaporkan Khalid mempersoalkan kadar gaji pokok dan elaun, manakala Shamsuddin pula dilaporkan berkata, majikan lebih selesa jika tarikh pelaksanaannya bermula Januari depan.
Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar gaji minimum antara RM800 hingga RM1,000 yang dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hujung bulan ini.
Subramaniam berkata, kerajaan tidak campur tangan dalam rundingan MPGN mengenai penetapan gaji minimum yang munasabah tetapi hanya akan mengumumkan keputusannya pada 30 April ini.
Beliau berkata, gaji minimum hanya membabitkan gaji pokok dan bayaran mandatori mengikut Akta Pekerja 1955 seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bayaran kerja lebih masa, kerja pada cuti umum atau cuti hujung minggu, bonus, elaun tetap dan potongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bagaimanapun, katanya, bayaran bukan wajib seperti komisyen, insentif dan imbuhan lain yang tidak diwajibkan mengikut Akta Pekerja terpulang kepada persetujuan antara majikan dan pekerja.
“Pelaksanaan gaji minimum memerlukan majikan membuat beberapa penstrukturan semula tangga gaji tetapi pelarasan gaji bagi kakitangan lain yang sememangnya menerima gaji melebihi kadar minimum yang ditetapkan bergantung kepada budi bicara majikan,” katanya.
Subramaniam juga memberi jaminan gaji minimum ditetapkan tidak terlalu membebankan majikan, terutama pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kerana kerajaan akan memberi tempoh mencukupi bagi mereka melakukan penyesuaian. - BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment