My Add

Friday 6 April 2012

TPM: ‘Tindakan Pakatan muslihat politik’

GURUN, KHAMIS, 05 April, 2012: Parti-parti pembangkang sepatutnya menerima dan akur dengan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diluluskan oleh Dewan Rakyat kelmarin kerana wakil mereka turut terlibat dalam panel itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan untuk mencari penyelesaian kepada beberapa perkara yang berkaitan dengan sistem pilihan raya di negara ini sebagaimana yang dikehendaki pembangkang juga.

"Ini dibuat secara teratur menerusi penubuhan jawatankuasa khas parlimen, bukan jawatankuasa biasa. Ia dibentuk atas kuasa parlimen," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan khas bersama pemimpin peladang seluruh Kedah di Kilang NPK Fertilizer Sdn Bhd di sini hari ini.

Kata Muhyiddin, beliau hairan dengan tindakan pembangkang yang menimbulkan kekecohan berikutan pembentangan laporan itu kerana wakil mereka turut menyertai jawatankuasa itu bersama-sama ahli yang lain, yang akhirnya jawatankuasa itu mempersetujui 22 perkara.

"Tapi bila masuk Parlimen mereka buat hal, nak ada 'minority report'. Tak pernah berlaku dalam sejarah kita ikut sistem British ini ada 'minority report'.

Kalau ada report, itulah saja reportnya. Report itu atas keputusan bersama.

"Mereka (wakil pembangkang) dalam jawatankuasa itu, bila bentangkan, mereka sendiri tak setuju... nak buat demonstrasi dan sebagainya. Itu muslihat politik," katanya.

Katanya, laporan yang dibentangkan oleh pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Dr Maximus Ongkili mengandungi 22 perkara yang mencakupi pelbagai hal dan tidak terbatas kepada tuntutan pihak pembangkang sahaja.

"Lebih luas daripada itu, itu semua untuk menambah baik. Soal pokok yang rakyat perlu lihat siapa yang benar-benar ikhlas nak cari penambahbaikan.

Sebelum ini ada beberapa cadangan telah dibuat dan diterima oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Kita terbuka dan memang ikhlas, dan itu yang dibentangkan," katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment