My Add

Sunday 1 April 2012

Najib cadang wujudkan taman sekutu di Malaysia

NANNING, AHAD, 01 April, 2012: Malaysia berharap kerajaan China dan pemain industri dan perniagaan negara itu akan menyokong penubuhan sebuah taman perindustrian sekutu di Malaysia berikutan kejayaan melancarkan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) dekat sini, hari ini.

Bercakap pada majlis pelancaran QIP, sebuah projek usaha sama antara Malaysia dan China, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek seumpama itu akan membantu syarikat China mengembangkan sayap mereka di Asia Tenggara.

"Saya ingin melihat pembangunan sama seperti itu di Malaysia,” katanya semasa melancarkan projek QIP itu bersama rakan sejawatannya Wen Jiabao di tapak projek itu di Qinzhou, kira-kira 150km dari sini.

Najib berkata, taman sekutu itu akan menyediakan peluang baru untuk usahawan Malaysia dan China menjalankan perniagaan.

Memetik pepatah Cina berbunyi “Satu generasi menanam pokok, generasi lain mendapat teduh”, Perdana Menteri berkata, beliau percaya pembukaan QIP China-Malaysia “menandakan permulaan era baru dalam kerjasama ekonomi antara negara kita yang mana generasi seterusnya bakal mendapat hasilnya.”

Semasa pelancaran itu, Najib dan Jiabao melakukan upacara meletakkan batu asas sebelum menanam sebatang pokok sebagai tanda persahabatan yang semakin akrab antara kedua-dua negara itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment