MELAKA, AHAD, 01 April, 2012: Persidangan Hari Sastera Nasional ke-15 mengesyorkan bidang kesusasteraan nasional dijadikan mata pelajaran wajib untuk pelajar bermula prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.
Perkara itu merupakan antara 14 resolusi yang dicapai Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersama 22 ahli gabungannya yang bersidang selama tiga hari bermula Jumaat.
Ketua Satu Gapena, Prof Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, bidang kesusasteraan nasional penting dalam memantapkan jati diri rakyat dan mewujudkan peradaban bangsa Malaysia yang bersatu dan kukuh.
"Kalau kita tidak wajibkan kesusasteraan, kita bimbang generasi muda hari ini tidak tahu pantun, sajak dan budaya sebaliknya hanya mementingkan nilai materialistik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Hari Sastera Nasional ke-15 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka yang juga Pengerusi Bersama Hari Sastera Nasional, Datuk Wira Othman Muhamad.
Beliau berkata, pada masa ini kesusasteraan hanya diajar di peringkat sekolah menengah namun ia tidak diwajibkan kepada semua pelajar. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment