My Add

Friday, 6 April 2012

Najib mahu golongan agama turut bantu capai negara maju


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memakan pulut kuning sempena tiga tahun pentadbirannya sebagai Perdana Menteri sambil diperhatikan menteri Kabinet pada Perhimpunan Perdana Warga Agama dan Qaryah Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - Foto Afendi Mohamed.

PUTRAJAYA, JUMAAT, 06 April, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mahu golongan agama turut sama membantu Malaysia mencatat sejarah menjadi negara Islam pertama di dunia mencapai status negara maju.

Katanya, beliau menaruh harapan sangat tinggi bahawa dengan berbekalkan semangat kuat yang ada pada golongan agama, hasrat itu mampu direalisasikan

"Saya ada satu impian...biarlah kita (Malaysia) mencatat sejarah sebagai negara Islam yang pertama di dunia mencapai status negara maju,” katanya semasa berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Warga Agama/Qaryah Wilayah Persekutuan bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Najib berkata, apabila mampu mencapai status negara maju, golongan agama juga akan turut maju sekali gus membolehkan kerajaan berupaya menyalurkan peruntukan lebih tinggi untuk terus memperkasakan dan memartabatkan agenda Islam.

Beliau berkata, ia juga secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mentadbir negara dengan baik dan dapat menentukan perkembangan negara ke arah lebih positif.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Perdana Warga Agama dan Qaryah Wilayah Persekutuan di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - Foto Afendi Mohamed.  

Sambil itu Najib mengumumkan peruntukan RM211.6 juta untuk terus memperkasa dan memartabatkan agenda Islam di Wilayah Persekutuan.

Peruntukan RM211.6 juta martabatkan agenda Islam di Wilayah Prsekutuan

Beliau berkata, daripada jumlah itu RM157 juta akan diperuntukkan bagi pembinaan masjid, surau Jumaat, surau dan sekolah rendah agama yang baru bagi memenuhi keperluan seluruh masyarakat Islam di tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. 

Selain itu, beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan penambahbaikan masjid, surau dan sekolah rendah agama.

"Semoga dengan peruntukan itu warga Islam di Wilayah Persekutuan dapat menjalankan ibadah dengan lebih berkualiti dan memiliki kehidupan lebih baik," katanya.

Bagi memastikan bidang pendidikan agama terus dipertingkatkan, Najib berkata, peruntukan sebanyak RM3.78 juta akan disalurkan sebagai bayaran elaun guru KAFA dan guru sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. 

"Hasil pentadbiran negara yang baik itu kita mesti pulangkan balik kepada rakyat termasuk golongan agama. Saya janji bahawa bila ekonomi kita bertambah lebih baik lagi, untung nasib dan kebajikan (rakyat) tetap akan dijaga sebaik-baiknya oleh kerajaan," katanya.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 warga agama itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada golongan agama yang dilihat turut komited bersama-sama dengan kerajaan dalam memperjuangkan agenda transformasi negara. 

Justeru itu, Najib berkata, apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan, ia tidak lari daripada prinsip Islam kerana salah satu sendi dan nilai utama yang disebutkan ialah nilai Wasatiyyah atau kesederhanaan.

"Nilai kesederhanaan itu bukan bermaksud lebih kurang, bukan bermaksud sambil lewa...tetapi bermaksud melakukan yang terbanyak tetapi ada penyeimbangan dari segi spiritual dan material," katanya.

Beliau berkata, dengan nilai kesederhanaan itu, bukan sahaja dapat membentuk negara yang baik tetapi juga dapat memperjuangkan satu ummah di samping hubungan baik dengan penganut agama lain turut dapat dipelihara. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment