My Add

Thursday 12 April 2012

Najib mahu PDRM penuhi dua harapan utama rakyat

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibantu jururawat, Matran Cheok Sau Yoke memeriksa tekanan darah sambil diperhatikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain selepas merasmikan Pusat Saringan Kesihatan Bukit Aman sempena perasmian Menara 1 Ibu Pejabat Bukit Aman, hari ini. - Foto Rosdan Wahid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta Polis Diraja Malaysia supaya memenuhi dua harapan rakyat iaitu menjamin keselamatan awam setiap masa dan bijak mengimbangi hak asasi individu dengan keselamatan umum.

Beliau menyifatkan tugas itu sebagai satu cabaran bukan saja kepada PDRM tetapi juga kepada beliau selaku Perdana Menteri, kepada kerajaan dan kepada Menteri Dalam Negeri.

"Saya yakin cabaran ini mampu dicapai," katanya semasa merasmikan Menara 1 Bukit Aman PDRM, yang merupakan bangunan baru pentadbiran polis di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan pegawai-pegawai kanan PDRM.

Najib berkata, kedua-dua harapan rakyat itu perlu dipenuhi dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen iaitu kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

"Adalah penting setiap agensi kerajaan itu wujud untuk rakyat dan kerana rakyat," katanya.

Menara 1, bangunan baru berharga RM320 juta, adalah pusat pentadbiran PDRM, menggantikan bangunan lama terletak berdekatan, disifatkan sebagai satu lambang modenisasi dan transformasi PDRM. 

Pejabat Ketua Polis Negara dan Timbalannya serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam yang sebelum ini berkongsi bangunan dengan Cawangan Khas di Kompleks 3, dipindahkan ke Menara 1.

Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Narkotik masih kekal di Menara 2 serta Cawangan Khas di Kompleks 3 Bukit Aman. 

Menara 1 Bukit Aman mula dibina pada 3 Mac 2005 di tapak tempat meletak kenderaan Bukit Aman. 

Jabatan Kerja Raya bertanggungjawab mereka bentuk bangunan menara setinggi 31 tingkat itu dengan keluasan lantai 85,000 meter persegi. 

JKR turut memantau kerja pembinaan sehingga siap sepenuhnya pada 21 April 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment